nuansa

Bantu komuniti nelayan pantai

Oleh Fazurawati Che Lah

Menerusi program Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Cakna, UMT Sayang Komuniti Nelayan Pantai Mengabang Telipot mengambil inisiatif menubuhkan jawatankuasa Task Force Hakisan Pantai untuk membantu komuniti nelayan di pantai berkenaan.

Ia sebagai membuktikan bahawa universiti itu memfokuskan kepada ilmu marin dan sumber akuatik.

Penubuhan jawatankuasa itu hasil sesi dialog bersama komuniti nelayan di Mengabang Telipot sebagai hasrat UMT membantu melaksanakan perancangan lokasi pendaratan bot akibat hakisan pantai.

Naib Canselor UMT, Prof Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, warga UMT bersimpati dengan fenomena hakisan yang dialami penduduk Mengabang Telipot dan bersedia untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban ditanggung.

"UMT mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan satu jawatankuasa Task Force Hakisan Pantai sebagai platform menyalurkan bantuan seperti sukarelawan.

"Task Force ini juga akan melaksanakan langkah pencegahan yang dikenal pasti bagi mengurangkan impak hakisan dan memberi taklimat kesedaran berkenaan bencana dan peranan setiap ahli masyarakat untuk bersiap sedia menghadapi bahaya hakisan pantai.

"Melalui jawatankuasa ini juga, kita merancang untuk menyediakan kawasan pendaratan bot melalui konsep inovasi Floating Breakwater kepada nelayan di pantai ini," katanya.

Tambahnya, selain digunakan untuk pendaratan bot, Floating Breakwater dapat mengurangkan kebergantungan komuniti nelayan mendaratkan bot di lagun Pantai Tok Jembal yang agak jauh untuk urusan logistik.

"Projek yang bersifat inovasi ini juga dijangkakan dapat dimanfaatkan bersama dalam aktiviti penyelidikan dan kokurikulum mahasiswa terutama dalam menjalankan aktiviti air," katanya.

Program yang dihadiri kira-kira 200 penduduk kampung sekitar Kampung Tengah, Mengabang Telipot turut menerima sedikit sumbangan dari UMT.

Disiarkan pada: March 19, 2018 @ 2:15pm
d