nuansa

Perlu kreativiti teroka idea baru

Oleh Fazurawati Che Lah

Universiti sebagai pemacu kreativiti dan inovasi adalah entiti penting dalam melonjakkan Malaysia menjadi negara yang maju dan berpendapatan tinggi.

Jadi, seiring dengan perkembangan dan perubahan semasa, sektor pendidikan tinggi negara khususnya dalam konteks universiti turut menerima impak yang tidak kurang hebatnya.

Tambahan pula dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, universiti tidak ada pilihan, selain lebih berdikari.

Dalam kata lain, universiti perlu mempersiapkan dan memperagakan institusinya agar terus bersedia dan berdaya saing supaya terus kompetitif serta relevan.

Cabaran dalaman universiti sekarang banyak tertumpu kepada soal kekangan kewangan dan penjanaan pendapatan. Universiti perlu menerima hakikat bahawa pembiayaan kerajaan untuk pengurusan dan operasi universiti semakin berkurang.

Dalam membincangkan soal penjanaan pendapatan, faktor keusahawanan menjadi sangat penting.

Mengulas lanjut, Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, jika selama ini keusahawanan lebih banyak diterapkan dalam konteks pembangunan pelajar, ia sewajarnya menjadi aspek penting kepada seluruh warga kampus khususnya pemimpin tertinggi universiti.

Katanya, mereka yang mempunyai ciri usahawan atau berminda keusahawanan akan menjadi lebih kreatif dan berani untuk meneroka idea baharu bagi merancang strategi serta model perniagaan yang dapat menjana pendapatan universiti.

“Bagaimanapun, dalam usaha rancak universiti menjana pendapatan, ia sama sekali tidak boleh berkompromi terhadap soal kualiti dan kecemerlangan institusinya.

“Peranan asas universiti membangunkan insan berpengetahuan tinggi dan meneroka ilmu baharu melalui usaha penyelidikan mesti terus digiat dan dilonjakkan,” katanya.

Dr Nahrizul Adib yang juga Pengerusi Konsortium Kolej Kediaman UM berkata, pelbagai kemudahan yang disediakan di universiti boleh mendatangkan hasil kewangan.

“Sebenarnya banyak kemudahan yang boleh dimanfaatkan untuk menjana kewangan universiti. Misalnya menyewakan dewan atau fasiliti yang ada di universiti kepada orang ramai, menjalankan perniagaan makanan dan sebagainya.

“Walaupun nilai itu kecil, sedikit sebanyak membantu dana universiti dalam menguruskan aktiviti pengajaran dan penyelidikan,” katanya.

Sejajar usaha ke arah penjanaan universiti, UM terus komited dan bersedia menghadapi cabaran kekangan kewangan ini dengan meningkatkan usaha untuk mengurangkan kebergantungan mereka terhadap dana kerajaan secara strategik.

UM secara serius membuat perancangan menjana pendapatan sendiri untuk jangka masa pendek dan panjang.

Pertama kalinya, UM melalui pengurusan kolej kediaman Konsortium Kolej Kediaman UM memulakan perniagaan berasaskan makanan dengan membuka Restoran Seleraku di bangunan Rumah Universiti yang turut menawarkan perkhidmatan katering.

Katanya, projek penjanaan kewangan membabitkan restoran dan katering itu sebenarnya tercetus apabila rumah penginapan iaitu Rumah Universiti tidak beroperasi sepenuhnya sejak tiga tahun lalu.

Katanya, pihak konsortium melalui perbincangan dan persetujuan daripada pengurusan tertinggi bersetuju untuk menghidupkan kembali Rumah Universiti dengan menyediakan perkhidmatan restoran kerana lokasinya yang strategik.

Biarpun jumlah jualan dilihat besar untuk sesebuah perniagaan berasaskan makanan di kampus, namun ia masih kecil dari aspek keseluruhan kos pengurusan universiti.

Katanya, peranan penjanaan kewangan universiti sebenarnya boleh diambil oleh mana-mana unit di dalam institusi berkenaan, biar pun secara tradisinya tidak dikaitkan dengan urusan penjanaan kewangan secara langsung.

“Kolej kediaman contohnya, selalunya dilihat sebagai sebahagian daripada cabang pemberian kemudahan universiti, dan bukannya sebagai punca penjanaan kewangan.

“Tapi persepsi ini pun diubah dengan adanya Seleraku dan saya mengharapkan usaha yang serupa atau lebih baik dapat dilaksanakan oleh pusat tanggungjawab lain, demi menjamin kelangsungan universiti dalam mencapai aspirasi yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025,” katanya.

Sejak beroperasi Februari lalu, Restoran Seleraku yang menawarkan juadah masakan panas Melayu menerima lebih 200 pelanggan sehari bermula dari jam 7 pagi.

Dr Nahrizul turut yakin usaha berkenaan berada di landasan tepat untuk membantu universiti menjana kewangan dengan inisiatif sendiri.

“Kami yakin berada di landasan yang tepat, sasaran jualan melebihi setengah juta ringgit dalam masa 12 bulan beroperasi pasti akan dicapai.

“Dengan komitmen kakitangan yang tinggi, selain usaha promosi yang berterusan, ia akan membantu,” katanya.

Selain itu, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berjaya membeli 15 blok perumahan dengan kos RM52 juta untuk kegunaan 3,000 penuntut antara bukti usaha penjanaan pendapatan sendiri yang dilaksanakan institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Manakala Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur membangunkan 500 unit penginapan dengan pinjaman bank RM180 juta dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendapat sumbangan Yayasan Bukhari untuk pembinaan auditorium RM40 juta.

Disiarkan pada: March 19, 2018 @ 2:25pm
d