nuansa

Usahawan kayu hanyut

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Siapa sangka kayu yang dianggap tidak berguna sebenarnya mempunyai nilai tinggi dan boleh menjadi barangan ‘jarang ditemui’.

Apatah lagi apabila kayu yang dikatakan berusia ratusan tahun itu mempunyai satu rahsia yang tidak diketahui ramai.

Kayu itu mempunyai dua imej yang menyerupai wajah manusia dan melalui kreativiti seorang usahawan kayu hanyut, Azah@Azahari Abd Jamal, 39, menghasilkan dua arca kayu yang menarik.

Azah@Azahari boleh disifatkan individu bertuah kerana menjumpai kayu itu sedangkan orang lain mungkin melihatnya sebagai sesuatu yang tidak berguna.

Penulis berpeluang melihat arca itu ketika membuat liputan Pameran Seni dan Perhiasan di Perbadanan Pem­bangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), baru-baru ini dan terpegun dengan keunikannya.

Azah@Azahari berkata, dia menjumpai kayu cengal itu di sebuah kebun di Bukit Lanjut, Kampung Tenang, Segamat pada 2014 dan meminta kebenaran daripada pemilik kebun untuk mengambilnya.

Katanya, kayu itu terbiar begitu saja selepas ditebang kira-kira 100 tahun lalu bagi tujuan pembukaan Kampung Tenang, Segamat.

“Sebenarnya tujuan asal saya ambil kayu ini untuk dijual di kilang perabot. Namun apabila membelah kayu ini meng­gunakan gergaji mendapati ada imej ini (dua imej yang menyerupai wajah) tetapi tidak begitu jelas.

“Kemudian, saya bersama rakan memperkemaskan kayu ini sehingga lakaran imej menjadi jelas,” katanya kepada Nuansa.

Menurutnya, kayu itu kini menjadi dua arca bersaiz kira-kira 1.5 meter panjang yang dinamakan Arca Kayu Lanjut Dua Sekawan.

“Lakaran imej pada kayu itu terbentuk secara semula jadi oleh serangga yang tinggal dalam kayu berkenaan seperti anai-anai.

“Sepanjang pembabitan dalam bidang ini sejak empat tahun lalu, agak sukar untuk menjumpai kayu yang unik seperti ini,” katanya.

Azah@Azahari yang turut menghasilkan perabot seperti kerusi dan meja juga berkongsi kegembiraan kerana arca kayu itu pernah memenangi Anugerah Satu Daerah Satu Industri kategori produk terbaik pada 2014.

Katanya, kemena­ngan itu umpama suntikan semangat kepadanya untuk menghasilkan lebih banyak produk perhiasan yang lebih unik dan menarik serta bermutu tinggi.

“Saya tidak keberatan menjual arca ini jika mendapat tawaran harga yang tinggi bersesuaian dengan nilai arca ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 11:29am
d