nuansa

Promosi penjimatan tenaga

Oleh Hafiz Ithnin

Taman Tema Sunway Lagoon, Petaling Jaya, menganjurkan Festival Hari Bumi atau ‘Earth Hour Blackout Fest’ yang disertai sekitar 1,500 pengunjung, baru-baru ini.

Ia menyediakan pelbagai aktiviti dan persembahan bertujuan memupuk kesedaran berkenaan penjimatan tenaga.

Menariknya, pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan beberapa artis tempatan seperti RazQa, V5 dan The Impatient Sisters.

Selain itu menyertai aktiviti air seperti meluncur arus (flowrider) dan beberapa permainan interaktif yang menarik.

Pada masa sama pelbagai gerai makanan dalam taman tema itu pula menawarkan jualan kepada orang ramai.

Acara kemuncaknya, sudah pasti menyalakan lilin sebagai simbolik sambutan Festival Hari Bumi.

Kelihatan orang ramai menikmati suasana yang hanya diterangi cahaya lilin bersama rakan sambil merakam gambar.

Sesuai dengan konsep nyalaan lilin pada malam itu, persembahan api dari Kumpulan Thumbuakar turut mencuri perhatian kerana pelbagai aksi bermain api ditunjukkan.

Pengurus Besar Sunway Lagoon Sean Choo berkata, sambutan itu bukan sekadar memupuk orang ramai untuk menjimatkan tenaga.

Malah ia membantu pengunjung meluangkan lebih meluangkan masa bersama keluarga dan rakan.

“Bukan sekadar menawarkan persembahan artis untuk menghiburkan pengunjung tapi kami juga mengadakan aktiviti luar yang berbentuk interaktif.

“Ia bagi membolehkan orang ramai lebih berinteraksi dengan keluarga atau rakan.

“Selain itu, lokasi acara yang diadakan di Surf Beach sememangnya menawarkan suasana santai kepada pengunjung yang hadir pada malam itu,” katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2018 @ 1:35pm
d