nuansa

Orang Kedahan asal Kedah

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Berada di Kampung Kedahan, di wilayah Nakhon Si Tammarat, selatan Thailand pasti akan membuatkan seseorang itu terimbau kenangan di Malaysia pada awal 1990-an.

Ini kerana suasana persekitaran kampung itu yang belum ‘tercemar’ dengan pembangunan dan semangat bergotong-royong dalam kalangan masyarakat kampung berkenaan juga masih utuh.

Itu pengalaman dilalui penulis ketika berada di kampung berkenaan untuk program gotong-royong dan Forum Perdana Hal Ehwal Islam ketika menyertai Kembara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di wilayah Nakhon Si Tammarat, baru-baru ini.

Ketibaan rombongan kami ke kampung itu bukan setakat disambut mesra penduduk tapi seperti langkah kanan kerana dihidangkan makanan tengah hari yang lazat dan dimasak secara bergotong-royong oleh wanita di sana.

Penduduk, Abdul Rahim Hassan, 60, berkata, amalan bergotong-royong penduduk di sini masih kuat dan ia adalah budaya masyarakat kampung itu yang kekal terpelihara.

“Ramai pengunjung luar yang datang ke sini terkejut melihat ukhuwah dalam kalangan penduduk kerana keakraban mereka seperti saudara.

“Kampung ini sering menerima kunjung masyarakat luar seperti dari Malaysia membabitkan golongan pensyarah dan penuntut yang membuat penyelidikan,” katanya.

Katanya, mereka akan tinggal di inap desa di sekitar kampung itu dan kedatangan mereka akan diraikan penduduk.

“Ini adalah antara budaya masyarakat di sini iaitu meraikan tetamu dengan bersungguh-sungguh termasuk menyajikan makanan.

“Kami melihat amalan bergotong-royong sangat membantu dalam mempereratkan hubungan sesama penduduk,” katanya.

Katanyanya, mengikut cerita orang lama penduduk asal kampung itu berasal dari Kedah yang berhijrah ke wilayah berkenaan.

“Sebab itu sebahagian penduduk di sini terutama orang lama boleh bertutur dalam bahasa Melayu sementara generasi baru pula hanya berkomunikasi bahasa Thailand.

“Terdapat kira-kira 2,000 penduduk di kampung ini dan kebanyakan mereka bekerja sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 12:30pm
d