nuansa

Cabaran Siput Park

Oleh Hafiz Ithnin

Taman Lembah Bukit SUK di Shah Alam, Selangor bukan suatu nama asing bagi mereka yang gemarkan aktiviti rekreasi terutama untuk berjoging pada waktu santai.

Namun, mungkin ada yang tidak mengetahui di dalam taman berkenaan ada satu sudut yang menjadi litar permainan kenderaan pacuan empat roda kawalan jauh yang dikenali sebagai Siput Park.

Litar di Siput Park boleh dikatakan agak besar sekitar 800 meter dan terdiri daripada pelbagai cabaran yang dibangunkan Kelab Siput Park Trophy sejak 2014.

Lokasi itu yang cukup terkenal dengan cabaran litar denai sering menjadi tempat kejohanan anjuran pelbagai pihak serta dikenali peminatnya dari dalam dan luar negara.

Antara cabaran laluan buatan yang terdapat di sana ialah jambatan gantung, sungai kecil, kawasan berbatu, berbukit dan berakar yang memerlukan kebijaksanaan dan kecekapan pemain mengawal alat kawalan jauh ketika beraksi di litar berkenaan.

Bagi yang mempunyai alat permainan itu, mereka boleh membawa dan menggunakan kemudahan litar di Siput Park tanpa dikenakan bayaran dan mungkin disebabkan itu, ia sering mendapat perhatian peminatnya.

Presiden Kelab Siput Park Trophy, Mohammad Shahrin Mandalam berkata, pihak berkuasa tempatan turut menyambut baik hasrat komuniti aktiviti berkenaan untuk membangunkan Siput Park di dalam Taman Lembah Bukit SUK sejak empat tahun lalu.

Katanya, sebelum litar berkenaan dibangunkan, kawasan itu hanya dipenuhi semak dan kewujudan kemudahan itu membantu memeriahkan lagi Taman Lembah Bukit SUK dengan pelbagai aktiviti sihat.

“Aktiviti permainan ini berkonsepkan kekeluargaan dan jika mereka datang ke sini, boleh berjoging dan pada masa sama kanak-kanak mahupun peminat permainan kenderaan pacuan empat roda kawalan jauh boleh mengisi waktu santai di satu tempat sama.

“Setakat ini, Siput Park sudah menjadi lokasi pertandingan untuk 25 kejohanan. Perkara ini menunjukkan litar yang kami sediakan mempunyai cabaran tersendiri untuk menguji kemampuan pemain mengawal kenderaan permainan mereka,” katanya.

Kelab Siput Park Trophy adalah antara komuniti permainan kenderaan pacuan empat roda kawalan jauh yang terkenal di Malaysia dengan mempunyai 10,000 dan 6,000 pengikut, masing-masing di Instagram dan Facebook.

Shahrin berkata, baru-baru ini pihaknya turut menganjurkan kejohanan permainan itu di Siput Park, The RC4WD Ultra Scale Challenge yang disertai 80 peserta dari dalam dan luar negara.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 10:59am
d