nuansa

Peking Man di Muzium Negara

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Malaysia terkenal dengan sejarah Perak Man atau Manusia Perak iaitu rangka manusia tertua yang dijumpai Gua Gunung Runtuh, Lembah Lenggong, Perak pada 1990.

Manusia Perak ini hidup kira-kira 10,000 tahun dulu dan bukti terunggul rangka manusia paling lengkap yang ditemui pada zaman manusia awal di Asia Tenggara.

Di China pula mempunyai sejarah Peking Man iaitu kumpulan manusia purba yang hidup di kawasan Zhoukoudian kira-kira 300,000 hingga 700,000 tahun dulu.

Zhoukoudian terletak di daerah Fangshan iaitu kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar raya Beijing.

Bagaimanapun, 117 koleksi berkaitan sejarah dan kebudayaan terawal di China itu boleh dilihat di dalam Pameran Peking Man: Tapak Warisan Zhoukoudian di Muzium Negara yang berlangsung dari 29 Mac hingga 16 Jun ini.

Kurator Bahagian Pengurusan Koleksi Jabatan Muzium Negara Kiew Yeng Meng berkata, barangan dipamerkan itu sebahagiannya fosil dan replika manusia purba terbabit.

“Di sini (Muzium Negara) kami pamerkan tengkorak, tulang, gigi, rangka haiwan dan peralatan yang diperbuat daripada batu digunakan pada zaman itu.

“Pengunjung boleh melihat secara lebih dekat dan memahami berkenaan Peking Man yang boleh dianggap satu keajaiban di negara itu,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, sesuatu yang menarik menanti pengunjung ialah dapat melihat perbezaan tengkorak antara Peking Man dengan manusia moden.

Beliau berkata, mereka dapat mengetahui aktiviti harian Peking Man seperti penggunaan api, membuat alatan daripada batu dan menjalankan kegiatan memburu haiwan sebagai sumber makanan.

“Pameran ini diharapkan dapat memperkayakan budaya hidup masyarakat setempat dan memberi kepuasan kepada pengunjung di samping menggalakkan usaha pertukaran budaya dan kerjasama antara kedua-dua negara ini,” katanya.

Tapak Zhuokoudian adalah kumpulan pertama yang disenaraikan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tapak Warisan Dunia pada 1987.

PAMERAN PEKING MAN: TAPAK WARISAN ZHOUKOUDIAN

• KOLEKSI : 117

• TARIKH : 29 Mac hingga 16 Jun 2018

• MASA : Jam 9 pagi hingga 6 petang.

• ALAMAT : Galeri 1, Jabatan Muzium Malaysia.

Disiarkan pada: April 11, 2018 @ 11:00am
d