nuansa

Air bersih untuk mereka

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

SUKAR dibayangkan keperitan hidup dilalui penduduk Islam di Wilayah Tbung Khnom dan Cham, Kemboja yang dihimpit kemiskinan.

Tinggal di rumah kecil serba daif bersama anak yang ramai dan kediaman itu sekadar tempat mereka berteduh.

Walaupun tanpa sebarang kelengkapan sempurna termasuk bekalan elektrik dan sumber air bersih, rumah itu umpama ‘syurga’ buat mereka.

Apa yang dilalui penduduk terbabit ketika ini digambarkan sama seperti kehidupan di negara ini sekitar 1950-an.

Betapa cekalnya mereka sejak sekian lama hanya bergantung kepada sumber air daripada tadahan hujan dan air tasik yang ditumbuhi banyak pokok teratai demi meneruskan kelangsungan hidup.

Walaupun terpaksa ‘bergelut’ dengan risiko kualiti dan tahap kebersihan air berkenaan, mereka tiada pilihan dan tetap menggunakannya dalam urusan harian.

Bagaimanapun, kesusahan dilalui mereka mendapat perhatian sukarelawan daripada Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Projek Amal TrevelogAD #dekatdihati di Kemboja 2018.

Projek yang dilaksanakan pada Februari lalu itu membawa misi memasang 17 telaga pam di enam kampung di Wilayah Kampung Cham membabitkan kos RM27,200 disertai 11 sukarelawan yang terdiri daripada sembilan pensyarah dan dua kakitangan pentadbiran. Lebih menarik, wang hasil sumbangan warga UiTM dan orang ramai yang diusahakan sukarelawan terbabit demi menjayakan misi berkenaan.

Timbalan Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Profesor Madya Alias Yussof berkata, idea dan perancangan projek itu dilakukan sejak setahun lalu adalah usaha murni unit kebajikan di bawah fakulti berkenaan yang dipimpin Ketua Projek Noriza Arzain dan penyelarasnya Norfadzillah Ibaruslan.

Beliau berkata, mereka adalah pensyarah di fakulti terbabit yang menjadi tulang belakang kejayaan projek itu. Ia turut dilihat sebagai projek perintis untuk mendedahkan penuntut Seni Lukis dan Seni Reka kepada aktiviti kebajikan.

“Buat permulaan, kami hanya membabitkan pensyarah dan pada siri kedua projek bakal disertai penuntut pula.

“Kami mahu penuntut UiTM menyertai program merentasi sempadan yang tidak tertumpu dalam negara saja kerana pengalaman itu sangat penting untuk kehidupan mereka,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, beliau tidak menyangka projek itu mendapat sambutan baik warga UiTM dan orang ramai hinggakan kutipan sumbangan diperoleh pada awalnya hanya untuk pemasangan tiga telaga tapi disebabkan jumlah kutipan meningkat, membolehkan 17 telaga dipasang.

“Kampung ini dipilih selepas ejen yang kami lantik mengenal pasti kampung berkenaan mempunyai ramai penduduk Islam hidup dalam kemiskinan dan sukar mendapat bekalan air bersih.

“Malah di kampung ini juga ada sumber air namun mereka tidak mempunyai kemampuan untuk mendapatkannya kerana kos pemasangan paip terlalu tinggi,” katanya.

Alias berkata, telaga yang mempunyai kedalaman antara 20 hingga 30 meter itu dipasang kontraktor dilantik bagi membekalkan air bersih kepada penduduk Islam di wilayah berkenaan.

Menurutnya, kampung itu sudah mempunyai telaga pam disumbangkan pihak lain sebelum ini, tetapi ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk yang ramai.

“Menerusi sumbangan ini, kami dapat menambahkan lagi jumlah telaga pam sedia ada dan buat masa ini setiap satu telaga boleh dikongsi untuk kegunaan empat keluarga.

“Namun masih banyak lagi kampung di pedalaman yang tidak memiliki telaga dan mereka hanya bergantung kepada air tadahan hujan atau air tasik,” katanya.

Katanya, tidak mandi selama tiga hingga empat hari sudah menjadi perkara biasa dalam kalangan masyarakat di sana kerana sumber air begitu terhad.

Beliau berkata, projek yang sama bagi fasa kedua dijangka dilaksanakan Julai ini dan kutipan dana sedang giat dilakukan.

“Pada masa ini kami sudah mempunyai dana untuk pembinaan tiga telaga dan masih mengumpul dana bagi tujuh telaga lagi.

“Telaga ini akan dipasang ke kampung lain di Wilayah Kampung Cham dan menyasarkan setiap rumah mempunyai satu telaga untuk keselesaan mereka yang ketika ini perlu menggunakannya secara berkongsi,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2018 @ 6:11pm
d