nuansa

8 rebut hadiah utama

Oleh HM Digital

Petrosains, The Discovery Center sekali lagi memburu ‘superstar’ sains negara dalam kalangan pelajar sekolah menengah menerusi program Petrosains Science Show Competition 2018.

Memasuki tahun ke-10, pertandingan sains dan seni persembahan anjuran Petrosains itu bertujuan mendedahkan sains serta mempromosikan kaedah pembelajaran menarik lagi berkesan kepada pelajar.

Pertandingan itu juga disokong Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan serta Bank Islam sebagai rakan kongsi kewangan.

Peserta pertandingan dikehendaki membentangkan konsep saintifik dan mempamerkan percubaan atau demonstrasi untuk menggambarkan konsep diberikan sama ada secara individu atau dalam pasukan bagi tempoh 15 minit.

Seramai 10 peserta teratas akan bertanding di negeri masing-masing ketika pusingan peringkat negeri.

Sementara lapan juara di peringkat negeri pula akan bertarung untuk hadiah utama dalam pertandingan akhir yang dijangka diadakan pada Oktober ini.

Juara berpeluang memenangi hadiah wang tunai lebih RM40,000 dan hadiah utama tajaan lawatan ke China Science Technology Museum di Beijing, China bernilai RM30,000.

Sekolah dengan bilangan penyertaan paling banyak juga akan memenangi wang tunai.

Pertandingan ini juga akan disiarkan di rancangan TV Pendidikan dan hiburan Astro TVIQ saluran 610.

Guru dan pelajar yang ingin menyertai boleh mengemukakan penyertaan hingga tarikh tutup pertandingan pada 31 Mei ini.

Borang penyertaan boleh diperoleh dari laman web. Untuk maklumat lanjut sila layari www.petrosains.com.my/science-show-competition/. -Fazurawati Che Lah

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 1:19pm
d