nuansa

Cermin budaya Malaysia [METROTV]

Oleh Hafiz Ithnin

Keharmonian penduduk Malaysia yang berbilang kaum menjadi lambang kemegahan dan tanda pengenalan kita yang sering dikagumi masyarakat negara lain. Keakraban masyarakat kita ini secara tidak langsung membuka ruang untuk mengenali budaya dan kesenian kaum lain. Kesefahaman inilah yang menyerlahkan keunikan negara kita.

Jika diperhalusi, Malaysia memang ada banyak keistimewaan khususnya dari segi budaya. Puluhan pecahan etnik khususnya daripada kaum peribumi menambah khazanah seni dan budaya yang tidak ternilai harganya. Setiap kaum dan etnik mempunyai muzik tradisional tersendiri yang cukup indah.

Mendengar setiap inci rentak yang dialunkan pemain muzik tradisional sememangnya tidak boleh dinafikan keindahannya. Tidak kira anda peminat jazz, rock waima dangdut sekalipun, rentak asli ini pasti mempesonakan.

Apatah lagi, setiap muzik yang dimainkan diiringi penyanyi yang bersuara lunak melontarkan bait indah menyusun kata nasihat buat pendengarnya.

Tidak ketinggalan sang penari menyusun langkah penuh rapi, sopan dan berhati-hati bagi memastikan setiap pergerakan tidak sumbang serta sekata dengan irama.

Sisi lain pula, ada kesenian kita yang mengalunkan rentak untuk drama bayangan tradisional popular Nusantara, wayang kulit. Kadangkala dialog digunakan berdialek negara jiran tanpa kita faham ertinya, tapi ia mempunyai aura tersendiri.

Elemen rentak, tarian dan persembahan inilah sebenarnya mencerminkan budaya Malaysia yang sering menjadi ejen penting memperkenalkan negara di mata dunia kerana kita mempunyai pelbagai budaya unik berbanding negara lain.

Malah, boleh dikatakan setiap majlis rasmi memperkenalkan pelancongan Malaysia, elemen ini dipertontonkan kepada tetamu dan pasti menggamit pandangan.

Memandangkan ia penting, tidak hairan mengapa negara kita mempunyai sekolah khas yang memberi tumpuan kepada bidang seni, antaranya Sekolah Seni Malaysia bagi memastikan ia terus lestari dan tidak lapuk ditelan zaman.

Generasi muda yang menjadi pemangkin dalam seni budaya ini sememangnya penting untuk terus membantu Malaysia melahirkan bakat baru yang mampu menonjolkan budaya masyarakat berbilang bangsa negara kepada dunia.

Bagi mereka yang gemar menyaksikan persembahan kebudayaan Malaysia, sebenarnya terdapat banyak lokasi yang disediakan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Pada masa sama, terdapat juga pemain industri inap desa atau hotel tempatan yang menyediakan persembahan kebudayaan kepada tetamu mengikut masa yang sudah dijadualkan.

Ada da juga beberapa pemilik rumah inap desa yang menyediakan persembahan khusus seperti tarian kuda kepang, zapin, tarian Orang Asli dan gendang India seperti masana kali urume melam.

Hakikatnya, menonton persembahan kebudayaan di Malaysia sememangnya menarik kerana bukan saja menghiburkan, malah secara tidak langsung membolehkan kita memahami budaya dan adat masyarakat lain.

Jika bukan kita yang menghargai budaya sendiri, siapa lagi?

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 11:48am
d