nuansa

Jangan langgar prosedur

Oleh Hafiz Ithnin

Memancing di hulu sungai bagi memikat pelbagai jenis ikan air tawar sememangnya memberi pengalaman tersendiri dan pemancing perlu mempunyai teknik tertentu untuk menjinakkan ikan yang diidamkan.

Tambahan, ikan yang terdapat di kawasan hulu sungai sememangnya bernilai tinggi seperti sebarau, tengas dan kelah kerana sukar didapati di pasaran malah tidak mudah untuk ‘dinaikkan’ ke darat.

Tidak ketinggalan ada juga ikan sungai yang semakin pupus di beberapa lokasi di Malaysia dan pihak berkuasa mewujudkan santuari bagi memastikan ‘keturunan’ ikan berharga itu tidak pupus.

Disebabkan itu, hanya terdapat beberapa lokasi huluan sungai di Taman Negara yang dibenarkan untuk aktiviti memancing. Itu pun dengan beberapa syarat antaranya perlu melalui beberapa prosedur ditetapkan seperti wajib mempunyai operator atau penunjuk arah untuk melaporkan serta mendapatkan permit daripada Jabatan Hutan bagi membolehkan aktiviti ini dijalankan.

Biasanya aktiviti memancing di kawasan hulu sungai diadakan dalam tempoh minimum tiga hari dua malam dan harga difahamkan bermula RM400 seorang. Harga ditawarkan operator sebenarnya bergantung kepada jumlah hari, jarak perjalanan dan kemudahan disediakan kepada kumpulan pemancing.

Paling utama, jangan bawa jaring atau jala untuk menangkap ikan di kawasan taman negara yang membenarkan aktiviti memancing kerana pihak berkuasa boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya kaki pancing melanggar peraturan.

Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman memancing di lokasi huluan juga perlu mempunyai persediaan untuk berkhemah dan membawa peralatan yang sesuai.

Walaupun pihak operator menyediakan makanan (bagi pakej makanan tertentu), tetapi jangan lupa membawa kudapan atau makanan sampingan peribadi kerana biasanya pemancing tidak pulang ke kawasan perkhemahan terutama pada waktu tengah hari.

Memandangkan terdapat juga aktiviti berjalan di kawasan denai ke lubuk tertentu, pastikan ada penunjuk arah yang membantu menghalakan anda ke laluan betul kerana di dalam hutan faktor keselamatan sangat perlu dititikberatkan.

Dari segi peralatan memancing, terutama umpan disarankan bawa yang sesuai dengan ‘selera’ ikan yang diburu seperti buah kelapa sawit siap diperam, udang, anak ikan atau umpan tiruan untuk teknik ‘casting’.

Tali tangsi juga perlu sesuai dan difahamkan jenis paling selamat untuk digunakan ialah yang cukup kuat bagi menampung minimum 9.5 kilogram kerana ikan sungai liar mempunyai kekuatan menarik yang agak kuat.

Tidak dapat dinafikan aktiviti memancing di kawasan hulu menawarkan pengalaman menarik dan mencabar. Bagaimanapun, faktor keselamatan dan tanggungjawab untuk memastikan kelangsungan habitat ikan serta alam perlu diambil kira.

Jadi jadilah pemancing bertanggungjawab dan selamat mengail!

Lokasi popular memancing hulu sungai di Malaysia:

1. Sungai Ulu Keniyam, Taman Negara Kuala Tahan (Pahang)

2. Sungai Pelong, Jeli (Kelantan)

3. Sungai Kejor, Gerik (Perak)

4. Sungai Terenggan, Tasik Kenyir (Terengganu)

5. Sungai Kuala Koh, Gua Musang (Kelantan)

6. Sungai Endau, Taman Negara Endau-Rompin (Sempadan Johor-Pahang)

7. Merapoh, Taman Negara Merapoh (Pahang)

8. Sungai Terengganu Mati, Tasik Kenyir (Terengganu)

9. Sungai Tiang, Tasik Banding (Perak)

10. Sungai Sephire, Taman Negara Kuala Tahan (Pahang)

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 10:45am
d