nuansa

Pemasangan ikut cara orang lama

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Melewati jalan di hadapan Kulliyyah Senibina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, pandangan pasti terpukau melihat sebuah rumah cantik yang sarat dengan ciri tradisional Melayu.

Melihat kepada struktur binaannya yang baru pula sudah tentu ramai tidak menyangka rumah berusia lebih 110 tahun itu sebelum ini adalah rumah usang yang mengalami banyak kerosakan dan terbiar kosong agak lama.

Ia adalah Rumah Perak dan pada zaman dulu dikenali sebagai Rumah Kutai Beranjung.

Rekod menunjukkan rumah yang pada asalnya terletak di Mukim Belanja, Parit, Perak itu dibina sekitar 1910 berdasarkan dokumen tanah didaftarkan pada 1907.

Malah rekod itu turut menyatakan tanah di rumah berkenaan didaftarkan atas nama Lawiyah Luakang yang sudah diwarisi lima generasi.

Kewujudan rumah itu di UIAM adalah hasil usaha pemuliharaan dan penempatan semula Rumah Perak di bawah projek Makmal Hidup Warisan KAED oleh sekumpulan pensyarah serta penuntut fakulti berkenaan yang disiap sepenuhnya pada Mac lalu.

Dekan KAED Prof Ar Dr Abdul Razak Sapian berkata, projek berkenaan dilakukan bagi memastikan seni reka dan binaan buatan masyarakat Melayu zaman dulu dapat dipelihara.

Beliau berkata, rumah Melayu adalah khazanah yang perlu digali untuk kajian dan dipelajari bagi menjadikannya contoh kehidupan kini serta masa hadapan.

“Rumah Melayu sebenarnya menggambarkan banyak perkara merangkumi kehidupan budaya, teknologi, alam sekitar dan agama.

“Empat perkara utama ini mempunyai signifikan penting untuk dikaji dan dipelihara,” katanya.

Katanya, antara keunikan rumah itu ialah ia dibina tanpa paku dan menggunakan kayu berkualiti yang kebanyakannya adalah cengal.

“Paling ketara, rumah ini walaupun dibina tanpa teknologi canggih, pembinaannya kukuh dan kehalusan seninya begitu menyerlah.

“Di sini kita dapat melihat kebijaksanaan orang lama dalam bidang pertukangan rumah,” katanya.

Dr Abdul Razak yang juga ketua projek berkenaan berkata, jika mengikut tradisi Perak, rumah itu dikenali Rumah Kutai Beranjung kerana ia adalah kediaman golongan pertengahan.

Katanya, mengikut maklumat diperoleh, rumah itu milik seorang yang berpengaruh di mukim terbabit iaitu penghulu.

“Sebagai pemimpin setempat, rumahnya sering dikunjungi tetamu dan anjung yang dibina menjadi tempat perjumpaan atau perbincangan.

“Ini kerana bahagian dalam rumah adalah ruang peribadi yang dikhaskan untuk ahli keluarga saja,” katanya.

Selain itu katanya, ketika kerja membuka rumah ini dilakukan beliau menjumpai lebih 10 artifak yang dipaku pada tiang kayu di tapak bawah rumah.

Jelasnya, artifak berkenaan ialah dua jenis duit syiling mata wang Belanda dan British. Paling signifikan adalah duit syiling zaman Belanda bertarikh 1730 sementara duit syiling British paling lama pula bertarikh 1887.

“Artifak ini ada maksud tertentu iaitu dalam aspek spiritual, duit itu yang mempunyai unsur besi dan mengikut kepercayaan supaya rumah ini menjadi lebih kukuh serta membawa rezeki.

“Tapi dari sudut lain pula, duit ini membantu untuk mengetahui tarikh rumah berkenaan dibina,” katanya.

Katanya, pemasangan semua rumah itu mengikut cara orang lama dengan meletakkan kain putih yang ditulis ayat al-Quran pada salah satu tiang rumah berkenaan yang biasanya pada tiang seri.

“Adat ini begitu popular dalam kalangan masyarakat Melayu dulu tapi kini semakin dilupakan.

“Ini juga satu petua supaya rumah yang dibina akan dilindungi, diberikan rezeki dan dilimpahkan kemakmuran serta kebahagiaan kepada penghuninya,” katanya.

Beliau berkata, upacara itu dilakukan dalam satu Majlis Tegak Tiang pada November tahun lalu yang disempurnakan sendiri Presiden UIAM Tan Sri Dr Rais Yatim.

“Dr Rais begitu gembira kerana projek Makmal Hidup Warisan KAED: Rumah Perak yang beliau ilhamkan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Beliau adalah tokoh yang sangat memperjuangkan seni warisan dan budaya Melayu dengan meletakkannya pada kedudukan tertinggi,” katanya.

Ditanya bagaimana pihaknya mengetahui kewujudan rumah itu, beliau berkata, ia melalui rakannya dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak yang membuat banyak kajian di sepanjang Sungai Perak dan memaklumkan ada sebuah rumah Melayu lama hendak dijual.

“Lawatan ke rumah ini mendapati ia menepati ciri-ciri dikehendaki seperti masih dalam kedudukan asal terutama dari segi reka bentuk dan bahan yang digunakan.

“Kami beli rumah ini dengan empat pakej iaitu bermula proses membuka rumah, rawatan, pemuliharaan dan memasang semula,” katanya.

Menurutnya, RM450,000 dibelanjakan untuk projek berkenaan yang termasuk kos operasinya.

“Sebanyak RM160,000 adalah sumbangan peribadi Dr Rais.

“Sementara RM250,000 adalah peruntukan kewangan dalam bentuk geran daripada universiti ini kepada KAED untuk penyediaan tapak dan infrastruktur yang berkaitan serta selebihnya ditampung melalui dana amanah KAED,” katanya.

Katanya, ada empat perkara yang ingin beliau capai menerusi projek berkenaan iaitu tujuan pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana rumah itu boleh dijadikan medium oleh penuntut KAED untuk mempelajari teknologi, teknik, kaedah dan bahan digunakan dalam pembinaan Rumah Perak.

Kedua, membabitkan usaha penyelidikan dan inovasi untuk penuntut KAED sendiri serta penuntut luar termasuk dari luar negara.

“UIAM memiliki Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC) di Jalan Duta dan institusi ini boleh bekerjasama dengan KAED menggunakan rumah itu sebagai kajian dalam aspek prinsip, nilai, konsep serta spiritual,” katanya.

Sementara perkara ketiga yang ingin dicapai ialah pengantarabangsaan kerana rumah tradisional Melayu hanya terdapat di negara ini. Peluang itu membolehkan masyarakat tempatan dan antarabangsa membuat kajian perbandingan dengan rumah tradisional negara lain seperti Jepun, Mesir dan China.

Katanya, yang terakhir ialah projek berkenaan dapat menjana pendapatan kepada KAED dan UIAM kerana keunikan rumah itu boleh menarik minat banyak pihak untuk menyewanya bagi menjalankan aktiviti atau majlis keramaian.

Jelasnya, Rumah Perak yang didirikan di atas tanah berkeluasan kira-kira satu hektar itu diharapkan dapat menempatkan dua lagi rumah Melayu dari negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Pahang atau Kelantan tahun depan.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 4:39am
d