nuansa

Bantu si miskin bandar

Oleh Fazurawati Che Lah

Golongan gelandangan sering dilihat sebagai segmen masyarakat kelas kedua di kebanyakan bandar besar di seluruh dunia termasuk Kuala Lumpur.

Mereka yang mungkin kelihatan comot dan tidak terurus sering dipandang ringan masyarakat kerana terkait dengan andaian masalah mental serta jenayah.

Menurut NGOHub.Asia, portal khidmat sukarelawan di seluruh Asia, golongan yang lebih memerlukan bantuan sebenarnya adalah mereka yang digolongkan sebagai miskin bandar.

Golongan ini menetap di Kuala Lumpur persis pepatah Melayu, ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Mengambil inisiatif untuk memberi sedikit bantuan kepada golongan yang memerlukan ini, 60 sukarelawan dari Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah, Universiti Malaya (UM) menganjurkan program pengagihan makanan dan barangan kebersihan diri di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program ini turut menerima kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Pertubuhan Kebajikan KASEH4U Malaysia (Kaseh4U).

Pengetua Kolej Kediaman itu, Prof Madya Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, sebagai institusi pengajian tertua di negara ini dan lokasinya di ibu kota, universiti awam (UA) berkenaan wajar memainkan peranannya.

“Mahasiswa UM sejak dulu lagi sememangnya sinonim dengan pelbagai inisiatif yang menjuarai isu kemasyarakatan termasuk hal berkaitan kebajikan dan sosioekonomi,” katanya.

Lebih 400 orang diberikan pek makanan dan barangan yang ditaja syarikat serta individu prihatin.

Malah program itu juga menyelitkan aktiviti menggunting rambut secara percuma dan mewarna bersama kanak-kanak.

Dr Nahrizul berkata, pembahagian barangan kepada ‘tetamu’ dijalankan mengikut konsep pasar malam yang membariskan pelbagai stesen barangan dan dimeriahkan dengan kehadiran maskot dari UM.

“Mereka dibenarkan memilih barangan yang ingin dibawa pulang,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Kaseh4U, Niza Haniz Mustaffa sentiasa mengalu-alukan penganjuran program sebegini yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban golongan memerlukan dalam menghadapi kehidupan seharian.

“Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan keseluruhan masalah membelenggu golongan miskin kota ini yang dilihat semakin bertambah jumlahnya saban tahun.

“Namun saya ingin membiasakan mahasiswa untuk sama-sama menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk kepada masyarakat yang memerlukan.

“Pada malam ini, sekurang-kurangnya 400 orang tidak perlu risau berkenaan juadah makan malam dan hanya perlu fokus untuk menghadapi keesokan hari dengan lebih positif,” katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 2:06pm
d