nuansa

YOSHKL masuk kampung

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kelab Youth Of Happiness Kuala Lumpur (YOSHKL) dengan kerjasama Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) julung kalinya mengadakan aktiviti bakti sosial menerusi program Jom Masuk Kampung.

Program disertai kira-kira 68 sukarelawan itu diadakan di perkampungan Orang Asli, Batu 12, Gombak, Selangor yang terdiri daripada penuntut institut pengajian tinggi (IPT) dan pelajar sekolah.

Sukarelawan YOSHKL, Nur Aisyah Zailani berkata, tujuan program diadakan bagi memberi peluang kepada masyarakat terutama golongan belia untuk lebih mengenali, mendapatkan pengalaman dan ilmu berkaitan sukarelawan bersama Orang Asli.

“Orang Asli adalah etnik di negara ini yang memiliki kepelbagaian budaya dan keunikan tersendiri, tapi ramai tidak mengetahuinya.

“Sebab itu program ini diadakan sebagai titik permulaan kepada sukarelawan untuk lebih mendekati komuniti berkenaan,” katanya kepada Nuansa.

Selain itu, ia juga salah satu usaha memperkenalkan kelab YOSHKL dan YDKMM kepada sukarelawan yang menyertai program terbabit.

“Antara aktiviti diadakan ialah sukan, Kembara Syifa, Perpustakaan Mini, Membasmi Kebuluran dan Kraf Kreatif.

“Aktiviti ini mendapat kerjasama daripada Hospital Orang Asli, Gombak yang turut memberikan kesedaran kepada penduduk Orang Asli dan sukarelawan berkenaan penyakit rabies atau anjing gila,” katanya.

Ceramah disampaikan Pegawai Perubatan Hospital Sungai Siput Perak, Dr Ahmad Lukman Ahmad Shuhaili.

“Menariknya ceramah ini disampaikan kerana masih ada Orang Asli membela haiwan itu dan kita mahu mereka lebih berhati-hati apabila mengendalikannya bagi mengelak kejadian itu berlaku.

“Ini kerana mereka yang dijangkiti virus berisiko meninggal dunia. Justeru, mereka perlu segera ke hospital jika terkena gigitan anjing yang didapati dijangkiti virus itu,” katanya.

Katanya, diharapkan dengan program berkenaan dapat meningkatkan kesedaran sukarelawan untuk lebih prihatin terhadap masyarakat lain di negara ini khususnya Orang Asli.

Disiarkan pada: May 16, 2018 @ 12:24pm
d