nuansa

Patrol Denggi hapus tempat biak aedes

Oleh HM Digital

Sebanyak 45 sekolah menyertai Skuad Denggi (Patrol Denggi) bersama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi mencegah penularan wabak denggi.

Pengarah Jabatan Kesihatan MPSJ, Roslan Mohamed Hussin berkata, sekolah berkenaan dibekalkan dengan kit pencegahan denggi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Antara peranan Skuad Denggi ialah memeriksa kawasan sekitar untuk mencari dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Selain itu, mereka juga mengedarkan risalah berkenaan pencegahan pembiakan nyamuk aedes dan melakukan aktiviti larvaciding dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau turut merasmikan Majlis Pelancaran Pemerkasaan Skuad Denggi Sekolah 2018 di The Summit Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Ia sebahagian model Program Sekolah Sejahtera MPSJ 2018 dan selaras dengan Pelan Strategik MPSJ 2012-2030 MPSJ yang menekankan aspek Perancangan dan Pembangunan Mampan serta Pembentukan Masyarakat Madani, sekali gus mewujudkan masyarakat sihat dan sejahtera.

“Program ini adalah kesinambungan Program Sekolah Sejahtera 2017 yang berjaya dilaksanakan pihak MPSJ dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor melalui Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana pada tahun lalu.

“Pelaksanaan program skuad denggi ini adalah inisiatif MPSJ bagi memberi pendedahan kepada generasi muda di samping penyampaian PSA (Khidmat Pesanan Masyarakat) MPSJ berkaitan bahaya denggi,” katanya.

Jelasnya, program berkenaan dianggap sebagai antara langkah proaktif bagi mengawal dan mencegah penularan wabak denggi yang akan bermula daripada akar umbi melalui pelajar sekolah.

Hingga 7 April lalu, jumlah terkumpul kes denggi di kawasan pentadbiran MPSJ sebanyak 715 kes berbanding 1,710 kes bagi tarikh yang sama pada 2017.

Statistik menunjukkan penurunan hingga 58 peratus bagi kes denggi 2018 di MPSJ.

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 1:04pm
d