nuansa

Ada maksud tersirat

Lagak ala wakil rakyat bersama pengikut yang membawa sepanduk ‘undilah saya’ digayakan seorang guru lelaki pada sambutan Hari Guru di Sekolah kebangsaan (SK) Jalan U3, Subang Perdana, Shah Alam, baru-baru ini mencuri tumpuan.

Ternyata demam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) masih terasa apabila idea itu digarap dengan baik untuk menambah warna-warni sambutan di sekolah itu yang mengetengahkan tema Kalau Saya Bukan Guru.

Seramai 115 guru di sekolah itu perlu memakai pakaian yang melambangkan pekerjaan diimpikan jika tidak bergelar guru.

Menurut Guru Besar SK Jalan U3, Nafisah Salleh, tema itu dipilih bagi memberi pendedahan kepada murid berkenaan alam pekerjaan yang bakal diterokai mereka pada masa akan datang.

“Tapi di sebalik pakaian pekerjaan yang digayakan guru itu, sebenarnya mempunyai maksud tersirat.

“Ini kerana kami sebagai pendidik mahu mengingatkan murid bahawa setiap pekerjaan yang dicapai itu bermula dengan didikan guru,” katanya.

Bagaimanapun, sambutan Hari Guru itu diuruskan Kelab Guru dan Kakitangan (KGK) sekolah berkenaan.

Pengerusi KGK SK Jalan U3, Mohd Jamalizam Hamzah berkata, sambutan itu lebih meriah apabila melihat kesungguhan guru merancang untuk menampilkan hasil yang terbaik.

“Sambutan kali ini cukup berbeza dan meriah berbanding sebelum ini. Guru juga menunjukkan kerjasama yang baik.

“Pelbagai gaya pekerjaan diperagakan termasuk wakil rakyat, juruterbang, tukang rumah, peguam dan doktor,” katanya.

Pada masa sama permainan turut diadakan bagi meraikan guru seperti baling belon, cari gula dalam tepung, pecah belon dan makan biskut tanpa guna tangan. - Fazurawati Che Lah

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 1:12pm
d