nuansa

Platform terbaik jaga kesihatan

Oleh Hafiz Ithnin

Aktiviti berbasikal dalam kalangan rakyat Malaysia semakin menarik perhatian dan boleh dikatakan setiap minggu pasti ada saja acara yang membabitkan sukan berkenaan di seluruh negara.

Tambahan pula, ada juga syarikat korporat menganjurkan aktiviti berbasikal untuk kakitangan mereka kerana ia dilihat mampu memberi kesan positif.

Baru-baru ini, Pos Malaysia bersama entiti korporat lain menganjurkan Kayuhan Negaraku Bersama Warga Pos Malaysia membabitkan 5,000 peserta. Ia terdiri daripada kakitangan Pos Malaysia dan orang ramai.

Acara berkenaan bermula dan berakhir di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membabitkan jarak kayuhan tujuh kilometer dimulakan pada jam 7 pagi hingga 9.30 pagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Al-Ishsal Ishak berkata, objektif utama program itu dianjurkan bagi memupuk semangat perpaduan dan cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia melalui aktiviti sukan berbasikal.

Katanya, acara ini juga adalah satu gaya hidup rekreasi dan sosial pada masa ini. Ia menjadi platform terbaik untuk kesihatan pelbagai lapisan usia.

“Selain itu, program ini juga dapat mengumpul dan mengeratkan hubungan serta perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Ia juga bertujuan meraikan posmen yang sudah berkhidmat dan sentiasa komited dengan kerjaya mereka.

“Ini inisiatif untuk menyemai semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan warga Pos Malaysia serta orang ramai,” katanya.

Aktiviti itu turut memberi peluang kepada peserta untuk menghayati keindahan sekitar kawasan Bandaraya Kuala Lumpur di samping dapat berinteraksi dan beriadah secara sihat.

Sejumlah 3,000 peserta terawal yang mendaftar akan menerima sehelai kemeja-T dan layak untuk menyertai cabutan bertuah.

Di samping acara berbasikal, pelbagai aktiviti sampingan dijalankan seperti zumba, persembahan buskers, demo basikal BMX, penampilan artis istimewa dan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM10,000,” katanya.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 11:07am
d