nuansa

Ketagih berlari malam

Oleh Hafiz Ithnin

Jika melihat seseorang yang terbabit dalam industri fesyen, pasti ada persepsi berkenaan ketaasuban kepada aktiviti membeli-belah dan sentiasa ingin kelihatan ke hadapan dalam berpakaian.

Namun, tidak bagi wanita berusia 36 tahun ini yang terbabit dalam bidang fesyen namun ‘ketagih’ aktiviti larian dan mendaki terutama pada waktu malam. Boleh dikatakan jika bukan bulan puasa, hampir setiap hujung minggu pasti ada aktiviti mendaki yang dilakukannya.

Menjadikan aktiviti mendaki secara serius sejak 2014, pemilik nama Norzaimee Mohamad Subki ini sememangnya gemarkan aktiviti mendaki, larian denai dan maraton yang dilihat menjadi sebahagian daripada diari hidupnya.

Anak kelahiran Ipoh, Perak ini juga melihat di Malaysia sememangnya terdapat ramai komuniti larian yang aktif berlari pada waktu malam dan banyak kemudahan disediakan pihak berkuasa bagi aktiviti berkenaan.

Katanya, kawasan yang dahulunya mungkin sepi dan tidak dikunjungi pada waktu malam seperti bukit kini semakin menjadi perhatian kerana ramai pelari atau mereka yang gemarkan aktiviti lasak.

“Kawasan yang selalunya dikunjungi ramai pelari mempunyai banyak kemudahan seperti lampu untuk mengurangkan risiko kemalangan atau jenayah.

“Antara lokasi yang sering saya kunjungi ialah di Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur kerana di sana memang dikenali sebagai tempat orang ramai untuk melakukan aktiviti berkenaan dan lebih selamat selain di dalam kawasan kampus,” katanya.

Selain UM, Norzaimee juga sering berkunjung ke Hartamas untuk aktiviti larian sekitar 10 kilometer untuk mengekalkan stamina.

Norzaimee berkata, kebiasaannya pada Ramadan, dia bersama rakan lain akan berlari selepas solat Tarawih sekitar jam 11 malam dan melakukannya hanya seminggu sekali.

Bahkan mereka membawa makanan untuk bersahur bersama-sama selepas berlari dan ia dilihat sebagai salah satu aktiviti yang boleh merapatkan hubungan dengan rakan pelari yang lain.

“Aktiviti larian ini tidak terhenti pada bulan puasa, cuma mungkin tidak serancak bulan lain. Tambahan pula kenderaan tidak banyak ketika malam.

“Bagi saya tidak ada masalah untuk berlari pada waktu siang atau malam kerana masing-masing ada kelebihan tersendiri. Paling penting aktiviti ini membuatkan saya seperti ketagih untuk terus melakukannya,” katanya.

Malah dia juga berharap lebih banyak lokasi rekreasi yang dibangunkan sesuai untuk aktiviti larian atau mendaki pada waktu malam.

Katanya, jika terdapat banyak kemudahan atau lokasi sesuai, tidak mustahil Malaysia mampu menjadi destinasi sukan di peringkat antarabangsa.

Apatah lagi ketika ini terdapat juga pelancong asing mula menjadikan negara kita sebagai destinasi pelancongan sukan mereka.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 11:07am
d