nuansa

Seronok kenali muzik tradisional

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Meskipun mereka ‘gelap’ pandangan kerana dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan namun memiliki hati yang terang apabila dapat mempelajari cara bermain alat muzik wayang kulit dalam masa singkat iaitu satu jam.

Biarpun tidak semahir mereka yang berpengalaman, ia satu pencapaian membanggakan kerana berkemungkinan kebolehan itu jarang dimiliki insan normal.

Menzahirkan senario itu, seramai 33 pelatih Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) diberi peluang mempelajari tujuh alat muzik wayang kulit seperti geduk, canang, kesi, gedombak, gendang, gong dan serunai dalam bengkel pendek wayang kulit Kelantan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), baru-baru ini.

Seterusnya, mereka mempersembahkan hasil pembelajaran singkat kepada kakitangan dan penuntut ASWARA ketika berbuka puasa.

Bengkel itu antara pengisian projek penuntut tahun dua Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni dan Budaya, Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya akademi berkenaan.

Pada masa sama, beng­kel terbabit dijalankan adiguru ASWARA, Che Mohd Nasir Yusoff bersama pensyarah Pusat Seni Tradisional ASWARA, Kamarul Baisah Hussain.

Peserta, Muhammad Afiq Ikhwan Zamberi, 20, berkata, dia berasa teruja apabila dapat mempelajari cara bermain alat muzik wayang kulit kerana sebelum ini hanya mendengarnya saja.

“Tidak dinafikan pada mulanya gementar dan kekok kerana ia begitu asing buat saya, apatah lagi pertama kali mempelajarinya.

“Apapun saya berasa seronok dan ingin mempelajarinya lebih mendalam bagi mempelbagaikan kemahiran,” katanya yang kini mengikuti kursus terapi urut di ASWARA.

Seorang lagi peserta, Siti Nor Hanin Nazar, 24, berkata, walaupun tidak dapat melihat alat muzik itu namun memadai dengan hanya menyentuhnya.

“Saya rasa seronok dapat mempelajarinya dan berterima kasih kepada tenaga pengajar di MAB kerana memilih saya menyertai program ini.

“Alunan muzik peralatan ini cukup mendamaikan membuatkan saya begitu menyukainya biarpun baru pertama kali mempelajarinya,” katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2018 @ 1:46pm
d