nuansa

Jom tunggang dinosaur!

Oleh Redzuan Muharam

Destinasi percutian sempena cuti sekolah kini lebih menarik dengan adanya taman tema Dinosaur Kingdom yang bakal dibuka di Setia Ecohill, Semenyih, Selangor bermula 14 Jun hingga 8 Julai ini.

Menariknya, pengunjung bukan hanya berpeluang melihat pelbagai spesies replika haiwan purba itu dengan lebih dekat, malah berseronok sambil belajar menerusi aneka aktiviti menarik yang ditawarkan.

Pengasas Dinosaur Kingdom Shas Fung berkata, taman tema itu dibuka di tanah seluas lebih 1.2 hektar (tiga ekar) dan dinosaur menjadi tarikan utama bagi menarik kehadiran pengunjung.

Bagi menyuntik kelainan, konsep taman tema bergerak diketengahkan bertujuan menggalakkan kunjungan seisi keluarga.

“Dulu, kanak-kanak membesar dengan pesta ria dan sarkas sebelum adanya taman tema yang semakin berkembang pesat.

“Meskipun begitu, kanak-kanak kini lebih bergantung kepada peranti digital, jadi pembukaan taman tema ini adalah sebahagian inisiatif mengembalikan nostalgia yang dulunya menjadi pusat riadah bersama keluarga.

“Kami percaya idea ini berkesan memandangkan ramai menyukai watak dinosaur dan menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung sepanjang ia dibuka,” katanya ketika sidang media di Club 360 Setia Eco Hill itu, baru-baru ini.

Shas berkata, pelbagai tarikan tersedia di Dinosaur Kingdom antaranya aktiviti mendaki sarang Pterosaurs, menonton pertunjukan secara langsung selama 40 minit dan menunggang dinosaur ‘Racing Raptors.’

Katanya, tarikan lain seperti permainan kereta lumba di ‘Drift Island,’ Raptor’s Maze, ‘Baby Dinosaur Trail’ dan pameran 25 dinosaur animatronik turut disediakan.

“Tarikan itu bertujuan memberi pengalaman menyeronokkan kepada pengunjung terutama kanak-kanak.

“Menerusinya mereka dapat berseronok, sekali gus memanfaatkan waktu cuti sekolah dengan sebaik-baiknya bersama keluarga.

“Saya berharap semua pengunjung terhibur sepanjang berada di taman tema itu yang akan diteruskan dan Setia Alam pula mungkin dipilih menjadi lokasi seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Shas berkata, taman tema itu dibuka bermula jam 12 tengah hari hingga 10.30 malam setiap hari dengan bayaran tiket masuk RM30 seorang, RM50 (tiket masuk berserta 10 token), RM100 (pek keluarga untuk empat tiket masuk) dan RM30 untuk 10 token.

Tiket boleh didapati di laman web rasmi iaitu www.themepaktu.com atau dengan memuat naik aplikasi Themepaktu di Google Play dan App Store.

“Di samping itu, kami turut menjalankan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk memberi peluang kepada orang ramai membantu golongan kurang bernasib baik .

“Caranya adalah dengan menyumbang RM80 dan Dinosaur Kingdom akan membantu seorang lagi anak kurang bernasib baik untuk setiap sumbangan diberikan,” katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2018 @ 12:51pm
d