nuansa

'Rumah' 3,000 spesies haiwan

Oleh Hafiz Ithnin

Dirasmikan pada 1963 dengan keluasan 40.4 hektar menjadikannya sebuah lokasi paling ikonik di Malaysia kerana ia antara permulaan lembaran kewujudan zoo di negara ini.

Nama Zoo Negara Malaysia atau dikenali sebagai Zoo Negara bukan sesuatu yang asing. Boleh dikatakan jika seseorang itu tinggal di Kuala Lumpur (KL) dan tidak pernah menjejaki ke taman haiwan itu rasanya belum ‘cukup asli’ sebagai orang KL.

Mempunyai konsep pameran haiwan terbuka, Zoo Negara yang diuruskan badan bukan kerajaan, Persatuan Zoologikal Malaysia kini memiliki lebih 3,000 spesies merangkumi pelbagai jenis termasuk haiwan mamalia, reptilia, burung dan aneka haiwan lain.

Meskipun Zoo Negara mempunyai keluasan 40.4 hektar namun hanya 24.2 hektar digunakan bagi tujuan pameran haiwan dan pembangunan kemudahan lain untuk pengunjung.

Antara tarikan yang terdapat di zoo itu sudah pasti kehadiran pelbagai spesis haiwan yang berasal dari negara lain seperti unta, zirafah dan paling terkenal adalah panda pemberian dari China.

Pengerusi Perhubungan Awam, Pemasaran dan Khidmat Pelanggannya Hafidz Rahmat berkata, Zoo Negara mempunyai matlamat untuk menjadikannya sebagai aktiviti rekreasi, konservasi, penyelidikan dan latihan.

Beliau berkata, zoo berkenaan menerima kunjungan pelawat yang memberangsangkan dengan catatan purata hingga 800,000 setahun dengan dianggarkan 15 peratus adalah pelawat asing.

“Zoo Negara adalah lokasi yang bukan sekadar untuk aktiviti melihat haiwan liar dengan lebih dekat, tapi seperti kita tahu ia juga antara platform pendidikan kepada semua golongan tanpa mengira peringkat umur.

“Pelbagai aktiviti kita jalankan sepanjang tahun seperti orang ramai boleh mengadakan program perkhemahan secara berkumpulan di sini. Ini kerana kami mempunyai pakej seperti menyediakan kemudahan tempat rekreasi dan makan,” katanya.

Hafidz berkata, meskipun taman haiwan itu sudah lama dibangunkan namun pihaknya sentiasa memastikan ia dalam keadaan baik bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

Katanya, perkara paling penting pastinya menjaga haiwan di situ supaya berada keadaan baik dan mampu meningkatkan kadar pembiakan.

“Di sini, terdapat haiwan yang menerima tajaan daripada badan korporat bagi penjagaan haiwan yang menjadi ikon kepada syarikat atau entiti tertentu. Perkara ini sedikit sebanyak membantu kami untuk melancarkan proses pengurusan penjagaan haiwan.

“Sememangnya kami sangat mengalu-alukan mana-mana pihak untuk terus menaja haiwan di sini kerana seperti yang diketahui umum ia adalah sebuah lokasi yang dijalankan badan bukan kerajaan, tetapi masih mendapat sokongan kewangan daripada kerajaan,” katanya.

Ketika ditanya berkenaan konsep zoo yang ingin diperkenalkan pada masa depan, katanya, Zoo Negara berhasrat untuk menjadikannya sebagai taman safari namun masih dalam proses perbincangan.

“Sekiranya konsep ini dapat dilaksanakan, pasti aktiviti mengunjungi Zoo Negara memberi kelainan kepada pengunjung memandangkan kami mempunyai pelbagai spesies haiwan yang boleh dilihat dengan lebih bebas pergerakannya.

“Buat masa ini, konsep pameran terbuka dengan menyediakan ruang pameran yang sesuai mengikut spesifikasi ditetapkan sudah memadai untuk mendekatkan pengunjung dengan haiwan di sini,” katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2018 @ 1:26pm
d