nuansa

Leka lihat keletah Sam

Oleh Hafiz Ithnin

Suara unggas membuatkan pengunjung bagaikan berada di dalam hutan yang sarat dengan kehidupan alamnya. Apatah lagi terdapat tumbuhan berjuntai seolah-olah tirai yang mengalu-alukan kehadiran ke taman itu.

Lebih mengujakan kerana pengunjung pasti berpeluang menyedut udara segar sepuas-puasnya. Jika tidak kerana papan tanda di bahagian hadapan, pengunjung pasti tidak menyedari bahawa mereka berada di dalam Taman Hidupan Liar Sunway Lagoon, Selangor.

Terletak di dalam Taman Tema Sunway Lagoon, Taman Hidupan Liar Sunway Lagoon itu hanya mempunyai keluasan sekitar 3.2 hektar, tetapi ia menempatkan 140 spesies hidupan liar dan peliharaan merangkumi lebih 700 haiwan.

Keadaan di dalamnya cukup bersih tanpa sebarang bau yang kurang menyenangkan meskipun ia tidak sebesar taman haiwan lain memandangkan kerja penjagaannya cukup dititikberatkan setiap kakitangan bertugas.

Ketika mengunjungi lokasi berkenaan baru-baru ini, penulis bertuah kerana ditemani dua individu penting yang menguruskan taman berkenaan iaitu pengurusnya Azman Ghazali dan veterinar hidupan liar taman hidupan itu, Dr Eve Foong.

Azman mempunyai pengalaman luas dalam dunia zoo tempatan dan luar negara sementara Dr Foong pula menjadikan kerjaya di taman itu sebahagian daripada kehidupannya.

Seterusnya menemui anak harimau putih jantan dinamakan Sam yang dilahirkan di taman itu, sememangnya tidak mengecewakan apabila dapat melihat ia beraksi manja tatkala dibelai Azman dan Dr Foong.

Pengunjung yang datang ke taman itu juga boleh melihat keletah Sam dan saudaranya, Elsa yang dilahirkan pada November tahun lalu. Aksi dua haiwan itu boleh anda saksikan setiap hari pada waktu tertentu yang ditetapkan pihak pengurusan iaitu jam 4.30 petang.

Selain melihat anak harimau yang comel itu, pengunjung turut dapat ‘menjamu’ mata menyaksikan keletah ibu bapanya iaitu Asha dan Samson menerusi tembok kaca selain terdapat papan maklumat yang jelas berkenaan haiwan liar itu.

Azman berkata, Taman Hidupan Liar Sunway Lagoon boleh dianggap sebagai zoo butik yang padat dan mempunyai tarikan tersendiri dari segi spesies haiwan serta aktiviti mengeratkan hubungan dengan manusia.

Katanya, perkara yang menjadi keutamaan taman itu adalah memberi pendidikan kepada orang ramai untuk menyayangi hidupan liar dan mengenalinya dengan lebih rapat.

“Kami merancang pelbagai aktiviti menarik seperti pengunjung boleh mendapatkan perkhidmatan renjer untuk menjadi penunjuk arah dan berkongsi maklumat berkenaan haiwan yang terdapat di sini.

“Selain itu, kanak-kanak diberi peluang untuk mendekati haiwan. Ia menerusi aktiviti memberi makanan kepada haiwan yang disediakan kami bagi menyemai sifat penyayang,” katanya.

Menurut kenyataan Sunway Lagoon pula, dikatakan 80 peratus pengunjung taman temanya pasti melawat taman berkenaan dan memberi maklum balas positif berkenaan kepelbagaian haiwan yang terdapat di situ.

Sementara itu Dr Foong berkata, memandangkan haiwan yang terdapat di taman itu adalah aset paling berharga, kebajikannya dijaga dan sentiasa dipantau bagi memastikan semuanya dalam keadaan baik serta sihat.

“Di sini, kami hanya memberi makanan terbaik kepada setiap penghuninya. Ibaratnya haiwan ini adalah ‘bos’ memandangkan kami ingin melihat mereka terus dalam keadaan baik dan dapat membiak.

“Di taman ini juga, kami mempunyai dapur khas bagi memproses makanan dengan kos makanan setiap bulan mencecah RM50,000. Selain itu, makanan tambahan seperti vitamin juga penting,” katanya.

Selain itu, tasik yang ‘dihuni’ pelbagai jenis ikan bernilai tinggi di taman itu turut menjadi perhatian. Pada tahun ini bakal diadakan aktiviti tangkap dan lepaskan ikan di tasik itu untuk dipindahkan ke kawasan baru memandangkan populasinya begitu banyak.

Disiarkan pada: June 19, 2018 @ 1:30pm
d