nuansa

Dikunjungi 3 atau 4 juta orang setiap tahun

Oleh Hafiz Ithnin

Aktiviti melawat zoo bukan sesuatu yang asing, malah boleh dikatakan setiap individu sekurang-kurangnya pasti ada sekali dalam seumur hidup melawat taman yang menawarkan pelbagai jenis haiwan itu.

Rasionalnya, melawat taman haiwan itu bukan saja dapat mengisi masa lapang malah ia juga antara kegiatan yang boleh mendidik orang ramai untuk mengenali haiwan terutama kanak-kanak.

Tidak hairan, boleh dikatakan setiap negara mempunyai zoo tersendiri. Sama seperti Malaysia mewujudkan Zoo Negara sebagai sebagai satu tarikan pelancongan yang mampu menjana pendapatan negara.

Kesan serentak pembangunan zoo di Malaysia, kini tidak boleh dinafikan kerana apabila terdapat banyak zoo diwujudkan sama ada oleh kerajaan mahupun swasta di pelbagai lokasi yang hampir dengan masyarakatnya.

Pembangunan zoo di Malaysia juga dilihat membawa bersama konsep tertentu sama ada taman hidupan yang mempunyai pelbagai jenis haiwan atau khusus untuk satu spesies saja.

Persatuan Taman Haiwan dan Akuaria Malaysia (MAZPA) menjangkakan Malaysia mempunyai kira-kira 40 taman haiwan atau zoo yang terdiri daripada pelbagai konsep ditawarkan kepada pengunjung.

Pengerusinya Dr Kevin Lazarus berkata, taman haiwan yang mempunyai pelbagai spesies sudah lama terdapat di Malaysia dan ketika ini banyak juga zoo atau taman haiwan mini diwujudkan khusus kepada sesuatu segmen saja seperti haiwan peliharaan, serangga, hidupan akuatik atau burung.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan setiap tahun jumlah kehadiran pengunjung ke taman haiwan di seluruh Malaysia sentiasa meningkat. Dianggarkan secara purata tiga atau empat juta pengunjung melawatinya setiap tahun.

“Biasanya jika kita bercakap berkenaan aktiviti melawat zoo pasti ada yang menjangkakan ia hanya sesuai dengan aktiviti kanak-kanak. Namun sebenarnya dalam tinjauan kamia mendapati 80 peratus pengunjung adalah golongan dewasa.

“Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di dalam zoo sesuai semua peringkat usia kerana pemilik taman haiwan pada hari ini lebih kreatif menyediakan aneka pakej lawatan menarik kepada orang ramai,” katanya.

Dr Kevin berkata, zoo secara umumnya adalah lokasi terbaik untuk kanak-kanak mengenali haiwan liar atau binatang peliharaan dengan lebih dekat dan memahami kehidupan mereka menerusi maklumat yang disediakan.

Katanya, disebabkan itu zoo biasanya meletakkan papan tanda maklumat berhampiran dengan lokasi yang menempatkan haiwan tertentu seperti jenis pemakanannya, habitat dan nama saintifik.

“Apabila kanak-kanak melihat maklumat ini mereka tentunya lebih memahami jenis haiwan yang ada di situ. Paling utama kita ingin memupuk rasa cintakan haiwan dalam diri kanak-kanak.

“Tambahan, kunjungan kanak-kanak ke zoo biasanya ditemani ahli keluarga dan ia juga menjadi salah satu aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan sambil mendapat ilmu alam semula jadi,” katanya.

Berkenaan golongan dewasa atau pelajar universiti pula ia turut membabitkan aktiviti perkhemahan di dalam zoo dengan pelbagai program pembangunan kendiri.

Menurut Dr Kevin, aktiviti itu dilihat sebagai program yang membantu mempelbagaikan fungsi zoo kepada masyarakat.

“Bagi golongan dewasa yang berminat untuk merasai sendiri kehidupan sebagai zoologi misalnya, mereka boleh menawarkan diri sebagai sukarelawan di mana-mana zoo yang menyediakan peluang terbabit.

“Aktiviti sukarelawan membolehkan mereka untuk membantu renjer atau pekerja bagi menguruskan zoo seperti membersihkan lokasi penempatan haiwan dan menyediakan makanan,” katanya.

Zoo tempatan juga mempunyai fungsi untuk menggalakkan pembiakan haiwan terutama bagi spesies yang hampir pupus, melaksanakan aktiviti pertukaran haiwan antara zoo tempatan dan luar negara memandangkan aktiviti perdagangan haiwan tidak boleh dilakukan.

Jelasnya, langkah yang dilakukan pihak berkuasa memperkenalkan undang-undang kepada pemilik zoo terutama kriteria lokasi penempatan haiwan antara pendekatan positif dalam melindungi hidupan itu.

Langkah pihak berkuasa memperkenalkan undang-undang bagi melindungi haiwan terutama hidupan liar membantu meningkatkan aktiviti pembiakan yang menjadi antara fungsi taman haiwan di dalam negara.

“Haiwan terutama hidupan liar sentiasa mengalami ancaman kepupusan dan kita ingin meneruskan jangka hayat generasinya. Oleh itu, setiap zoo perlu mematuhi undang-undang yang tersedia di bawah akta bagi memastikan haiwan ini berada dalam keadaan baik.

“Selain itu, aktiviti pertukaran haiwan liar juga boleh dilakukan dengan negara asing seperti harimau belang di Malaysia yang mendapat permintaan dari di Eropah dan Jepun,” katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2018 @ 1:35pm
d