nuansa

Belajar jadi 'bodyguard'

Oleh Nurul Husna Mahmud

Menyaksikan secara dekat simulasi senario pengawal peribadi atau pengiring rapat menyelamatkan orang kenamaan sudah menerbitkan rasa gementar, apatah lagi mereka yang melakukannya.

Bunyi seretan tayar bersama brek kereta diikuti sekumpulan orang menyerang pengiring itu menjadi babak dramatik apabila aksi tangkas pengawal mematahkan cubaan berlangsung dengan kemas.

Aksi mereka tidak ubah seperti sketsa yang sering disaksikan pada kaca televisyen. Malah, buat penulis yang meminati filem Bodyguard lakonan Kevin Costner dan Whitney Houston, tentu saja teruja dengan pengalaman itu.

Namun, pada wajah pelatih yang melakukan demonstrasi itu tidak terpapar riak bimbang. Mungkin kerana mereka sudah lama berlatih dan bersedia dari segi mental dan fizikal. Barisan pelatih itu terdiri daripada peserta Kursus Pengawal Keselamatan dan Pengiring Rapat Siri 1 yang julung kali dijalankan oleh Akademi STS di Kem PLKN Millenium Beranang, Selangor, baru-baru ini.

Lebih mengagumkan apabila berkesempatan menemubual pelatih wanita, Jamilah Kadir, 49, antara peserta yang berjaya menamatkan rejim latihan selama tiga bulan itu.

Ibu tunggal kepada 10 cahaya mata yang berasal dari Machang, Kelantan itu menyifatkan rejim latihan sangat mencabar membuatkannya hampir berputus asa pada pertengahan kursus.

“Rasa memang hendak bungkus baju dan pulang tetapi dorongan rakan dan jurulatih membuatkan saya terus mengharungi cabaran ini. Maklumlah latihan tidak setakat menekankan aspek kekuatan fizikal semata-mata, malah mental.

“Tambah pula dengan usia sudah melangkau 40-an, tentu tenaga dan kemampuan saya terhad. Namun apabila memikirkan inilah antara cara mencari rezeki, apatah lagi saya ada anak yang masih kecil yang ditinggalkan demi kursus ini, menjadi penguat semangat bertahan sehingga hari akhir,” katanya.

Memang menjadi impian Jamilah mengecapi status pengawal keselamatan elit kerana tidak saja meningkatkan kemahiran malah kualiti kehidupan.

“Ramai orang kejar tahap status elit kerana banyak manfaat, baik dari segi tangga gaji mahupun insentif. Malah, lokasi penempatan serta tugas pegawai pengiring dan pengawal elit lebih baik berbanding pengawal biasa.

“Saya gemarkan bidang ini kerana ada peluang untuk berkembang. Kalau sebelum ini bekerja statik tetapi dengan kemahiran diterapkan dalam kursus, saya lebih yakin untuk ke hadapan.

“Sebagai contoh, jawatan pegawai elit lebih berisiko seperti di bank, pusat komersial atau agensi penting. Rutin tugas juga berubah apabila perlunya penggunaan senjata dan mematuhi protokol tugas termasuk ketika di bilik kebal,” katanya yang sangat meminati bidang beruniform.

Tambah Jamilah, wanita perlu merebut peluang kerana permintaan terhadap tenaga kerja ini untuk kumpulan berkenaan sangat tinggi.

“Tidak dinafikan masih ramai mempunyai stigma terhadap kerja di bahagian keselamatan sebagai ‘mak guard’ ini hanyalah ‘pak pacak’ berpanas dan bosan. Sedangkan bidang ini juga mempunyai kelas dan tahap.

“Contohnya untuk satu lagi tahap yang saya idamkan ialah kursus membabitkan eksekutif wanita iaitu pendedahan kepada bidang tugas sebagai pembantu keselamatan buat orang kenamaan wanita.

“Hasrat itu memang ada tetapi mungkin saya perlu pertimbangkan juga peluang untuk bergelar tenaga pengajar memikirkan usia sudah meningkat,” katanya.

Sementara itu, pelatih dari Jerteh Terengganu, Samsulafandi Hamid berkata, sebagai pesara tentera, bidang ini dilihat sebagai peluang memiliki kerja lebih baik selepas tamat berkhidmat sebagai anggota keselamatan.

“Dulu tengok rakan anggota yang mengiringi pegawai atau menteri memberi imej berbeza mengenai bidang tugas keselamatan berkenaan. Ketika itu ruang terhad kerana saya berkhidmat di bahagian lain.

“Apabila bekerja di bahagian keselamatan dari statik ke elit, ada juga keinginan untuk mencuba bidang lain iaitu mengiringi orang kenamaan. Daripada kursus ini barulah saya tahu setiap perkara perlu dipelajari. Bahkan, membuka pintu untuk mereka pun ada caranya.

“Selain itu bukan aspek taktikal atau protokol keselamatan saja dipelajari, saya didedahkan juga kepada cara berinteraksi serta komunikasi dengan orang kenamaan termasuklah kelas penguasaan bahasa Inggeris bagi membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan itu sendiri,” katanya.

Tugasnya itu mendapat sokongan keluarga yang memahami minatnya terhadap cabang kerja sebagai pegawai pengiring.

“Bagi anak muda yang berasakan mereka tidak cukup menyerlah dalam akademik, bolehlah pertimbangkan bidang ini yang mungkin menjadi peluang kedua untuk anda menikmati kerjaya lebih baik dan terjamin. Malah, saya sendiri menggalakkan anak untuk sama menyertai bidang pengiring rapat atau pengawal peribadi kenamaan ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif STS Sdn Bhd dan perunding Gangsa Abadi Sdn Bhd, Mohd Afrol Faizal Chew Abdullah berkata, pihaknya membuka akademi terbabit bagi merealisasikan khidmat pengawal peribadi terlatih.

“Ini ibarat peluang kedua buat mereka yang mahu mencari peluang pekerjaan dalam bidang keselamatan terutama membabitkan kerjaya sebagai pegawai pengiring mahupun pengawal elit.

“Sebenarnya kita bekerjasama dengan Jabatan Sumber Manusia dalam program penempatan semula sumber tenaga kerja yang sebelum ini berdepan isu diberhentikan kerja atau dibuang supaya diserapkan semula menerusi skim latihan yang disediakan dan dilatih dalam kursus berkenaan.

“Mereka tidak saja diajar teori, malah menjalani latihan praktikal yang agresif dalam menepati profesional selaku pegawai keselamatan untuk ditugaskan di agensi kerajaan dan swasta.

“Ketika ini permintaan untuk tenaga kerja dalam bidang keselamatan sangat tinggi. Standard untuk mereka berada dalam profesion ini juga sangat tinggi. Malah, tenaga pengajar juga berpengalaman tidak saja mengiringi orang kenamaan tempatan malah asing. Justeru, dari segi praktikal dan standard, peserta dapat merasai sendiri sepanjang mereka menjalani kursus,” katanya yang juga berharap bidang kerjaya ini mendapat perhatian terutama dalam kalangan anak muda tempatan.

Disiarkan pada: July 1, 2018 @ 1:42pm
d