nuansa

Kreativiti zahir perasaan kasih

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Luahan rasa kasih kepada orang tersayang terutama isteri bukan hanya boleh dinukilkan dalam surat atau kad ucapan semata-mata.

Dengan kreativiti, seorang pelukis muda berjaya menghasilkan medium baru menerusi kerja seninya untuk menzahirkan perasaan itu.

Memilih menggunakan filem sinaran X milik isterinya, Syahbandi Samat menghasilkan satu karya memukau sesiapa saja yang melihatnya.

Karya itu boleh dihayati dalam Pameran Masks and Stories di Galeri Seni Artemis di Publika yang berlangsung dari 30 Jun hingga 29 Julai ini.

Pameran terbabit menampilkan 24 karya daripada empat artis termasuk dua artis dari Indonesia iaitu Dedy Sufriadi dan Indra Dodi.

Selain filem sinaran X, kerja seni bertajuk Pasu Bunga Tiga itu turut menggunakan kotak cahaya dan pokok buatan.

Syahbandi berkata, imej tulang kerangka pada filem sinaran X itu menerangkan wanita dijadikan daripada tulang rusuk lelaki sebagaimana diterangkan di dalam hadis Nabi SAW.

“Kedudukan tulang rusuk itu pada sisi lelaki menjelaskan wanita dilahirkan untuk dijadikan teman hidup dan dilindungi.

“Sebab itu terdapat sebatang pokok di atas filem sinaran X ini yang menunjukkan diri saya sebagai suami perlu bertanggungjawab melindungi isteri,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, begitu juga dengan lukisan kedua bertajuk Pasu Bunga Kedua yang menyampaikan mesej sama.

“Idea ini (menghasilkan karya Pasu Pokok Ketiga) tercetus selepas terjumpa sekeping filem sinaran X isteri yang menjalani pemeriksaan kesihatan kerana mendapat kerja di sektor kerajaan.

“Saya cenderung menghasilkan karya menggunakan bahan sedia ada di sekeliling selain ia mudah didapati dan murah,” katanya.

Pengarah dan pemilik bersama Galeri Seni Artemis, S Jamal al-Idrus berkata, pameran kali ini menonjolkan konsep pesona yang menjelaskan mengenai penampilan seseorang menjadi perantara antara dunia luar dengan diri sendiri.

“Setiap orang mempunyai pesona masing-masing yang boleh diibaratkan seperti topeng yang ‘berfungsi’ mengikut situasi tertentu.

“Sebagai contoh, jika seseorang sedang bersosial, topeng digunakan tidak sama ketika bekerja. Ini berdasarkan pandangan psikologi.

“Jadi kami mengambil konsep pesona dan mengaplikasikannya dalam seni visual,” katanya.

PAMERAN MASKS AND STORIES

• ARTIS: 4

• KARYA: 24

• TARIKH: 30 Jun hingga 29 Julai 2018

• TEMPAT: Galeri Seni Artemis, Lot 21&22 tingkat G4 Publika@Dutamas, Blok C5 Solaris Dutamas, No 1 Jalan Dutamas 1

Disiarkan pada: July 4, 2018 @ 10:39am
d