nuansa

Berkhemah di hutan

Oleh Hafiz Ithnin

Ungkapan melentur buluh biarlah daripada rebungnya bermaksud mendidik anak perlu di peringkat awal usia untuk kehidupan masa depan yang lebih sempurna.

Oleh itu, aktiviti luar seperti mendaki dan ilmu kelangsungan hidup secara asas semakin mendapat perhatian ramai terutama pihak sekolah yang disokong ibu bapa.

Aktiviti sebegini sebenarnya bukan saja dapat mempromosikan lokasi perkhemahan tempatan kepada orang ramai, juga memberi ilmu di luar bilik darjah yang menyeronokkan.

Lihat saja apabila tiba musim cuti sekolah, pasti pihak sekolah terutama di kawasan bandar sering mengadakan aktiviti perkhemahan serta motivasi kepada pelajar kerana ia mampu meninggalkan kesan positif.

Melihat kepada potensi perkembangan aktiviti perkhemahan dan motivasi di Malaysia, Puncak Vantures antara penganjur acara atau program aktiviti luar membabitkan pelajar sekolah menjadi pilihan terutama sekolah rendah swasta di Malaysia.

Dua pengasasnya, Muhammad Illaham Ishak dan Zainudin Lot yang mempunyai pengalaman sebagai jurulatih pendaki Gunung Everest serta gunung popular antarabangsa mempunyai modul pembelajaran aktiviti luar khas buat peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah.

Illaham berkata, pengalaman dalam aktiviti luar yang lasak terutama mengendalikan ekspedisi mendaki gunung yang mencabar memberi kelebihan kepada pihaknya untuk mengendalikan program pembangunan insan di luar bilik darjah yang berbeza berbanding penganjur lain.

Selain itu, katanya, dalam aktiviti dianjurkannya juga terdapat kru sokongan berpengalaman sebagai pendaki profesional yang pernah mendaki gunung tertinggi dunia, Everest seperti Siti Hanisah Sharuddin yang turut berkongsi pengalaman dengan peserta terbabit.

“Setakat ini bagi penganjuran aktiviti pembangunan insan sememangnya mendapat maklum balas baik daripada peserta dan pihak sekolah kerana mereka inginkan sesuatu aktiviti luar kelas yang menarik, menyeronokkan dan memberi tambahan ilmu kepada pelajar.

“Biasanya program dianjurkan mengikut permintaan pihak sekolah dan berlangsung dalam tempoh tiga hari dua malam. Buat masa ini, kapasiti peserta yang pernah menyertai program antara 50 hingga 300 orang,” katanya.

Menurut Illaham, pihaknya menganjurkan aktiviti asas perkhemahan dan perkongsian maklumat berkenaan kegiatan berkaitan bukit atau gunung terutama pendakian sesuai dengan usia peserta.

Tambahnya, dalam setiap aktiviti yang dijalankan sudah semestinya aspek keselamatan menjadi keutamaan kerana aktiviti luar terdedah kepada risiko kemalangan.

“Kita berkongsi pengalaman pendakian di peringkat antarabangsa yang jarang didapati dalam program tempatan biasa kerana ia boleh membuka minda dan memberi kekuatan semangat mereka, sekali gus peserta dapat melihat potensi diri dengan lebih luas,” katanya.

Bagi memastikan keselamatan peserta dalam keadaan baik, pihaknya sentiasa mempunyai kru yang berpengalaman untuk menyokong serta mengendalikan setiap aktiviti dilakukan.

Katanya, aktiviti pembangunan insan di luar kelas juga dapat memberi pendedahan kepada pelajar asing yang bersekolah di Malaysia khususnya keunikan hutan hujan tropika.

“Menerusi program pembangunan insan seperti ini dapat menambah ilmu pengetahuan pelajar asing berkenaan keunikan hutan hijau yang tidak terdapat di negara beriklim sejuk.

“Apabila pulang ke negara asal, sekurang-kurangnya aktiviti luar bilik darjah seperti ini dapat mereka kongsikan dengan rakan di negara mereka kelak,” katanya.

Lokasi aktiviti pembangunan insan yang sering diadakan Puncak Ventures:

1. Kem Sungai Pauh, Tanah Rata (Pahang).

2. Nur laman Bestari, Ulu Yam (Selangor).

3. Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat (Selangor).

4. Tapak Perkhemahan Air terjun Jeriau, Bukit Fraser (Pahang).

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 8:05am
d