nuansa

MAKNA terima RM300,300

Oleh Hartini Mohd Nawi

AirAsia meneruskan usahanya untuk memberikan kesedaran terhadap kanser dan menyokong pejuang kanser yang kurang bernasib baik melalui kempen #AirAsiaMAKNA.

Kempen itu kini masuk tahun ketiga meneruskan jualan amal baju- T edisi terhad dengan rekaan juruterbang dan kru kabin. Hasil daripada jualan bernilai RM300,300 diserahkan melalui cek kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) di acara ‘#AirAsiaMAKNA: The Big Fight Fiesta’ yang dianjurkan, baru-baru ini.

Cek itu diserahkan Pengerusi AirAsia Filipina dan pejuang kanser, Marianne ‘Maan’ B Hontiveros, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail kepada Pengurus Besar MAKNA, Farahida Mohd Farid.

Pada majlis yang sama, program kesetiaan AirAsia, AirAsia BIG Loyalty turut menyerahkan dua juta Mata Ganjaran AirAsia kepada MAKNA untuk terus membantu pejuang kanser dari segi pilihan perjalanan udara.

“Kanser antara penyakit di seluruh dunia yang memberi kesan kepada semua peringkat umur sama ada secara langsung atau tidak. Di AirAsia, kami mempunyai ramai ‘Allstars’ terdiri daripada pejuang kanser yang memberikan inspirasi kepada kami dengan ketabahan dan kesungguhan mereka.

“Mengetahui beberapa rakan sekerja kami yang berjuang memerangi penyakit ini, kami mahu melakukan sesuatu untuk membantu mereka dan komuniti kami.

“Sejak tahun 2015, kempen ini sudah berjaya mengumpul dana sebanyak RM1 juta untuk membantu pejuang kanser yang kurang bernasib baik di Malaysia. Inisiatif ini tidak mungkin dapat dilakukan tanpa sokongan anda dan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang memainkan peranan dalam memerangi kanser bersama-sama kami,” kata Riad.

Sementara itu, Farahida pula berkata, kempen ini bukan hanya untuk mengumpulkan dana semata-mata.

“Kerjasama MAKNA dengan AirAsia bertujuan membantu menyelamatkan dan memberikan impak positif kepada pejuang kanser.

“Kini rakyat Malaysia bukan saja boleh terbang bersama AirAsia malah boleh membantu mereka yang memerlukan melalui kempen ini.

“AirAsia adalah sebuah organisasi yang mengambil berat terhadap komuniti di sekelilingnya - inilah sebab utama kerjasama ini berjaya.

“Terima kasih AirAsia kerana menjadikan misi kami sebagai misi anda juga. Ini adalah satu penghormatan bagi kami,” katanya.

Pada Ogos pula, AirAsia akan terus menjadi rakan penerbangan rasmi MAKNA untuk ekspedisi ‘Klimb Kinabalu 2018,’ di mana sejumlah 20 pendaki termasuk empat ‘Allstars’ dari seluruh kumpulan peserta bakal menakluki Gunung Kinabalu untuk mengumpul lebih dana dan menyokong kempen kesedaran kanser.

Untuk maklumat lanjut dan mengetahui bagaimana untuk menyumbang kepada kempen ini, layari makna.org.my.

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 1:34pm
d