nuansa

Pewarna lukisan

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Sememangnya tugas penyelidik bukan mudah kerana mungkin melalui beberapa episod kegagalan sebelum hasil kajian benar-benar berjaya.

Bagi yang tidak kuat semangat, barangkali boleh ‘angkat tangan’ kerana tugas itu menuntut kecekalan mental dan fizikal.

Sebaliknya, jika tugas yang dilakukan itu disertai minat mendalam, segala kepayahan dapat dilalui dengan mudah dan penuh kesabaran.

Itu tugas ‘rutin’ dilalui Pegawai Penyelidik Lembaga Getah Malaysia (LGM), Dr Asrul Mustafa bersama Penolong Penyelidik LGM, Abdul Fateh Kamil Khalib setiap kali melakukan penyelidikan.

Terbaru, mereka berjaya menghasilkan Getah Colour iaitu pewarna untuk lukisan sebagai medium baru dalam seni visual.

Itu tugas ‘rutin’ dilalui Pegawai Penyelidik Lembaga Getah Malaysia (LGM), Dr Asrul Mustafa bersama Penolong Penyelidik LGM, Abdul Fateh Kamil Khalib setiap kali melakukan penyelidikan.

Terbaru, mereka berjaya menghasilkan Getah Colour iaitu pewarna untuk lukisan sebagai medium baru dalam seni visual.

Lebih membanggakan, Getah Colour sudah didaftarkan sebagai harta intelek di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebagai hak eksklusif LGM.

Nama Getah Colour belum diketahui ramai kerana Getah Colour masih di tahap prakomersial dan ramai pelukis lebih popular menggunakan cat akrilik serta cat air apabila berkarya.

Getah Colour dihasilkan menggunakan 30 peratus bahan semula jadi hasil penyelidikan selama tiga tahun dilakukan Dr Asrul dan Abdul Fateh Kamil.

Dr Asrul berkata, terdapat tiga komponen penting Getah Colour seperti pigmen iaitu ibu warna yang dicampur dengan bahan pengikat (binder) dan pelikat (thickener).

“Tiga puluh peratus susu getah dicampur sebagai pengikat (binder). Apabila pengikat konvensional ditukar, terhasillah medium baru dikenali sebagai Getah Colour.

“Sifat Getah Colour ini berada di tengah antara cat akrilik dan cat air tapi ciri-ciri persamaan boleh dicapai menerusi penambahbaikan pada masa hadapan,” katanya kepada Nuansa.

Beliau berkata, Getah Colour menggunakan susu getah asli termodifikasi iaitu susu getah yang sudah ada pengubahsuaian yang pada asalnya digunakan untuk membuat tayar.

“Tapi kita ambil dalam bentuk susu sebelum ia (susu getah) ditukarkan kepada bahan mentah tayar (sebelum getah dibekukan).

“Buat masa sekarang 30 peratus getah dalam pengikat adalah jumlah yang ideal kerana jika menggunakan banyak getah akan menyukarkan kerja mewarna di atas kanvas.

“Sebaliknya, jika peratus getah kurang maka kandungan getah pada Getah Colour akan kurang pula,” katanya.

Jelasnya, itu tidak mencapai tujuan asal kajian dan penghasilan produk berkenaan yang bermatlamatkan untuk memperbanyakkan penggunaan getah dalam seni lukis.

Selain itu beliau berkata, idea menghasilkan Getah Colour tercetus menerusi inisiatif untuk meningkatkan penggunaan bahan komoditi berkenaan dalam pelbagai produk yang berkualiti.

“Seiring dengan projek ini, kita juga berjaya menghasilkan cat dinding bangunan yang juga menggunakan getah asli.

“Penghasilan produk ini memberi nilai tambahan berganda terhadap sektor pengeluaran getah asli di negara ini,” katanya.

Selain itu, tujuan lain penghasilan produk terbabit ialah untuk memperkenalkan getah kepada generasi muda sebagai salah satu sumber asli terpenting negara yang semakin kurang diketahui ramai.

Katanya, baru-baru ini LGM bekerjasama dengan Balai Seni Negara menganjurkan Pameran Rub’A Paint: From Rubber to Art Gallery yang mempamerkan 85 karya daripada 17 pelukis tempatan dan luar negara.

Semua karya itu dihasilkan menggunakan Getah Colour yang pelbagai genre langsung tidak menampakkan ‘cela’ meskipun pelukis pertama kali menggunakan medium baru terbabit.

Dr Asrul berkata, antara lukisan mendapat perhatian ialah karya Zainurin ‘Ajis’ Mohamad bertajuk Rezki Melimpah 1 hingga 5 yang memaparkan visual pokok dan susu getah.

“Menerusi lukisan bersiri ini pengunjung terutamanya generasi muda boleh mengenali pokok getah dan melihat bagaimana proses pengeluaran susu getah daripada pokok berkenaan melalui replika pokok dan demonstrasi video yang ditayangkan.

“Selain itu, kita juga ingin memberitahu bahawa aktiviti menoreh getah adalah pekerjaan utama masyarakat sebagai punca pendapatan menyara keluarga satu masa dahulu.

“Kini aktiviti ini semakin berkurangan kerana ada segelintir petani memilih menukar kepada tanaman kelapa sawit,” katanya.

Menurutnya, inovasi getah itu sekali gus dapat meningkatkan permintaan terhadap getah asli dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang rata-rata bergantung hasil daripada kebun getah mereka.

Katanya lagi, pameran itu adalah platform berkesan bagi LGM mendapatkan maklum balas daripada artis yang menggunakan Getah Colour terhadap kelebihan serta kekurangan pewarna terbabit.

“Kita ada menerima beberapa maklum balas daripada mereka (pelukis) dan akan gunakan (maklum balas) untuk kajian lanjut bagi meningkatkan lagi kualiti Getah Colour serta jika boleh setanding ciri-ciri cat akrilik.

“Beberapa kelebihan Getah Colour, antaranya lebih cepat kering berbanding cat air dan lebih perlahan berbanding akrilik.

“Ini memberikan lebih banyak fleksibiliti dan permainan ekspresif di dalam karya seni, sementara ciri tambahan lain ialah rintangan kepada air apabila kering.

“Ini dapat membantu menghasilkan karya lebih tahan lama, selain itu lebih mudah dicuci pada tangan selepas digunakan,” katanya.

Selain itu, Dr Asrul berkata, penggunaan Getah Colour sebagai produk hijau yang berasaskan bahan semula jadi lebih selamat berbanding cat akrilik yang diperbuat menggunakan bahan daripada petroleum yang boleh memberi kesan jangka panjang terhadap alam sekitar serta kesihatan.

Malah beliau optimis produk itu mempunyai masa depan yang cerah. Berdasarkan sejarah, cat akrilik mengambil masa hampir 40 tahun untuk diterima di seluruh dunia sebagai medium seni visual yang diterima kebanyakan pengiat seni antarabangsa.

“Kita menjangkakan Getah Colour akan melalui fasa seperti ini (cat akrilik) sebelum diterima baik.

“Kita akan sentiasa melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk meningkatkan lagi kualiti Getah Colour sehingga menjadi pilihan penggiat seni,” katanya.

INFO

• Getah Colour adalah pewarna untuk lukisan seni visual yang dihasilkan menggunakan 30 peratus getah asli.

Kebaikan Getah Colour

• Lebih cepat kering daripada cat air dan lebih perlahan daripada akrilik.

• Kalis air apabila kering.

• Mudah dicuci daripada tangan selepas digunakan.

• Mesra alam sekitar.

• Sesuai digunakan di atas kanvas dan kertas lukisan.

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 2:29pm
d