nuansa

Kem pengakap istimewa

Oleh Fazurawati Che Lah

Kekurangan diri tidak menghalang pelajar kurang upaya untuk menyertai perkhemahan dan mengikuti aktiviti kem seperti pelajar normal.

Keterujaan itu dirasai seramai 146 murid sekolah menengah yang dihimpunkan dalam Kem Pengujian Lencana Usaha Pengakap Muda Daerah Kulim anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Kulim, Kedah, baru-baru ini.

Program selama tiga hari dua malam itu hasil kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kulim-Bandar Baharu membabitkan ahli Pengakap Muda dan Remaja berusia 13 hingga 17 tahun di sekitar daerah berkenaan.

Kem ini diadakan untuk ahli mendapatkan Lencana Usaha yang wajib dimiliki calon Pengakap Raja.

Pemimpin Pengakap yang juga Kem Komandan, Mohd Hasni Mustapa berkata, program ini bukan saja sebagai persediaan Pengakap Raja, malah mendedahkan ahli ke arah aktiviti pengakap yang sebenar.

“Penganjuran ini sekali gus mendidik kemahiran secara individu,” katanya.

Pemimpin Pengakap Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Mohd Kamal Masor @ Ibrahim berkata, perkhemahan itu adalah kali pertama bagi pengakap aliran pendidikan khas dalam daerah Kulim dan Kedah yang dikumpulkan bersama.

“Sebelum ini, kami hanya buat di sekolah masing-masing. Pembabitan sebanyak lapan sekolah menengah dalam daerah Kulim dan Bandar Baharu yang menyediakan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Skim Latihan Lencana Usaha (Tahap 2) ada perbezaan dengan sekolah aliran perdana.

“Perbezaan meliputi cara penyediaan makanan, kembara lasak juga tidak ada dalam skim lencana bagi aliran pendidikan khas.

“Kami berharap mereka dapat menguruskan diri, menjalani kehidupan secara berkumpulan serta pendedahan bersama masyarakat luar, boleh berkomunikasi dan bersosial serta berdikari,” katanya.

Beliau berharap perkhemahan berkenaan dapat dilaksanakan secara besar-besaran untuk Pendidikan Khas di peringkat negeri Kedah dan Malaysia khasnya serta memiliki tapak khas untuk Pengakap daerah Kulim bagi menjalankan aktiviti.

Pelajar SMK Luna (Integrasi Pendidikan Khas), Nur Aya Izzaty Irfan Marshidi, 14, gembira dapat menyertai perkhemahan itu dan belajar banyak perkara baru.

“Saya menyertai pengakap dari sekolah rendah lagi. Dalam perkhemahan sebegini, bukan saja dapat bertemu dengan ramai kawan, saya juga dapat belajar pelbagai jenis kemahiran antaranya cara memasang khemah, ikatan dan memasak,” katanya.

“Saya berharap perkhemahan sebegini diteruskan pada tahun akan datang dan dikumpulkan lebih ramai lagi,” katanya.

Majlis penutupan kem itu disempurnakan Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kulim, Kedah, Ismail Othman yang menerima bendera daripada wakil ahli pengakap.

Turut disampaikan sijil penghargaan kepada ahli Pengakap Kelana yang hadir sebagai Pembantu Pemimpin.

Disiarkan pada: July 16, 2018 @ 12:46pm
d