nuansa

BMX makin popular

Oleh Hafiz Ithnin

Ia bermula sebagai satu aktiviti yang kurang di popular di Malaysia satu ketika dulu memandangkan sering dilabelkan sebagai kegiatan yang tidak mendatangkan kesan positif kepada masyarakat.

Kini, aktiviti Bicycle Motorcross atau BMX mampu membawa bakat tempatan hingga ke peringkat antarabangsa. Malah, dalam salah satu disiplinnya membabitkan perlumbaan sudah dipertandingkan di peringkat Olimpik.

Di Malaysia hari ini dapat dilihat sudah ada pihak yang menyediakan kemudahan untuk peminatnya beraksi apabila ia menjadi salah satu penanda aras penting membuang stigma lapuk dan negatif dalam kalangan generasi muda.

Sukan itu yang muncul pada era 70-an di Amerika Syarikat dan dipercayai bertapak di Malaysia pada sekitar 80-an kini mempunyai ramai pengikutnya terdiri daripada pelbagai peringkat usia hingga ada yang sudah menjangkau melebihi 50 tahun.

Terdapat beberapa disiplin yang diketahui umum antaranya perlumbaan, mempersembahkan gaya bebas di permukaan rata (flatland), mengendalikan basikal dengan cabaran di kawasan pejalan kaki seperti tangga dan susur tangan (street) dan beraksi di atas trek tiruan berhalangan (park).

Tidak terhad kepada aktiviti saja, ia turut menimbulkan minat kepada pengikutnya memburu koleksi ‘emas’ basikal BMX yang sukar untuk didapati pada masa kini. Harga bagi koleksi terhad itu boleh mencecah puluhan ribu ringgit dan diimport dari negara asing.

Berkesempatan bertemu pemain basikal BMX, Zafrin Shah Sabikin yang membabitkan diri dalam aktiviti itu lebih 15 tahun, beliau antara bakat tempatan yang sudah membawa nama Malaysia ke lebih 10 negara.

Zafrin berkata, komuniti pemain BMX tempatan semakin berkembang dan dijangkakan ada lebih 3,000 penggiatnya di seluruh negara ketika ini.

Beliau berkata, dari segi kemudahan untuk bermain BMX di Malaysia boleh dikategorikan sebagai fasa pembangunan berbanding negara jiran seperti Thailand yang menyediakan kelengkapan latihan lengkap untuk atlet sukan itu menggilap pelbagai kemahiran.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang ingin menjadikan aktiviti ini sebagai kegiatan rekreasi, kemudahan yang ada di Malaysia sudah memadai untuk mereka bermain.

“Selain itu, jika kemudahan BMX di Malaysia lengkap, kita juga dapat menarik kehadiran lebih ramai pemain dari negara asing sama ada untuk menyertai kejohanan atau membuat latihan,” katanya.

Katanya, setakat ini kebanyakan pemain BMX yang datang ke Malaysia lebih kepada melihat kemudahan yang terdapat di negara ini dan berjumpa dengan rakan searena untuk bertukar pandangan berkenaan komponen basikal.

Berbasikal itu juga dilihat sebagai salah satu aktiviti santai yang boleh dilakukan bersama keluarga kerana terdapat juga pemain dalam kalangan kanak-kanak yang mungkin dipengaruhi minat bapa atau ibu mereka yang sudah mempunyai bakat dan minat dalam aktiviti terbabit.

Ketika ditanya berkenaan kemahiran asas yang perlu diketahui orang ramai untuk menjadi penunggang basikal BMX, katanya, menguasai keseimbangan badan untuk melompat dengan basikal dalam keadaan sedikit membongkok (bunny hop) adalah perkara yang perlu dikuasai.

Katanya, di Malaysia antara disiplin menunggang BMX yang popular adalah flatland kerana ia memerlukan penunggang beraksi dengan baik untuk menggabungkan satu kemahiran bagi menjadikannya satu persembahan yang panjang dan menarik.

“Selain itu, Park juga antara yang menarik perhatian kerana penunggang perlu melepasi cabaran yang tersedia pada trek tiruan seperti tebing, piramid, kotak dan permukaan tinggi yang menggelongsor.

“Dalam kata lain, semua aktiviti BMX ini memerlukan penunggang bijak mengendalikan keseimbangan badan dan mempunyai stamina yang baik sama ada untuk perlumbaan atau disiplin membabitkan pertunjukan kemahiran,” katanya.

Difahamkan, secara amnya bagi penunggang BMX di Malaysia menggunakan lebar rim 20 inci. Bagaimanapun, terdapat juga mereka yang menggunakan saiz lebih minimum bermula daripada 16, 18, 24 dan 26 inci, bergantung kepada keselesaan penunggang itu sendiri.

Seiring dengan fungsinya yang direka dengan ciri khas seperti tahan lasak, tahan hentaman berulang kali dan ringan, harga permulaan dijual bermula antara RM1,500 dan mampu mencecah harga lebih mahal mengikut jenama aksesori atau komponen yang diinginkan penunggang.

Memandangkan aktiviti menunggang basikal BMX sudah lama wujud, terdapat juga peminatnya mempraktikkan gaya lama atau dikenali sebagai old school iaitu basikal digunakan adalah edisi lama yang pasti mempunyai nilai tersendiri.

Paling menarik, pakaian dan kelengkapan keselamatan diri digunakan juga adalah gaya lama seperti topi keledar motosikal, kasut sukan yang jenamanya sinonim dengan aktiviti itu sejak sekian lama dan hanya mengenakan pakaian santai.

Dalam kata lain, aktiviti menunggang basikal BMX yang mempunyai pelbagai disiplin dan gaya ini sememangnya satu kegiatan menarik untuk disertai orang ramai terutamanya golongan muda kerana ia bukan saja dapat menggilap bakat anak tempatan untuk kejohanan di peringkat antarabangsa, malah satu aktiviti yang menyihatkan tubuh badan.

Lihat saja kemahiran yang perlu dihasilkan, sudah pasti setiap pemainnya memerlukan stamina baik untuk mengawal keadaan diri dan basikal yang menjadi fokus utama dalam setiap disiplin disertai.

Sekiranya, aktiviti ini semakin berkembang dalam kalangan masyarakat di negara ini, tidak mustahil aktiviti menunggang basikal BMX juga menambah subsektor baru dalam industri pelancongan tempatan yang menjadi antara nadi penting pembangunan ekonomi negara.

Lokasi aktiviti BMX di Malaysia

1. Kompleks Sukan Bukit Kiara (Kuala Lumpur)

2. Putrajaya Challenge Park (Putrajaya)

3. Shah Alam Extreme Park (Selangor)

4. Kompleks Sukan Arena Petaling Jaya (Selangor)

5. Skatepark Bukit Jalil (Kuala Lumpur)

6. The Jungle, Kota Kinabalu (Sabah)

7. Penang Youth Park (Pulau Pinang)

8. Bintulu Skatepark (Sarawak)

9. Taman Jubli Emas Alor Setar (Kedah)

10. Sendayan Extreme Park (Negeri Sembilan)

11. Kompleks Belia dan Sukan Taiping (Perak)

12. Kompleks Belia dan Sukan Kuantan (Pahang)

Disiarkan pada: July 17, 2018 @ 1:35pm
d