nuansa

Kreativiti sentuhan wanita

Oleh Nor 'Asyikin Mat Hayin

Peranan wanita dalam perkembangan seni visual di negara ini mendapat pengiktirafan dan diangkat menerusi Pameran Lakar Wanita di Ruang Kreatif, Balai Seni Negara (BSN).

Lebih membanggakan, 52 karya yang dipamerkan adalah hasil kerja 13 pelukis wanita terdiri daripada pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dari pelbagai bidang dan artis wanita sepenuh masa.

Semua kerja seni itu dihasilkan daripada pelbagai teknik seperti catan, cetakan digital, jahitan dan media campuran.

Sifat sensitif dan kewanitaan jelas terlihat daripada karya, penggunaan bahan, teknik serta luahan idea yang mencerminkan identiti setiap pelukis.

Pelukis, Rozarina Johari mempamerkan hasil kerja yang unik menggunakan teknik jahitan dalam empat siri karyanya bertajuk Siri Gebar Mamma 1 hingga 4.

Menurutnya, perkataan ‘gebar’ bermaksud selimut dan karya itu didedikasikan khas buat tiga anaknya sebagai luahan kasih sayang terhadap mereka.

“Setiap karya ini mempunyai cerita yang berbeza kerana sikap dan karakter anak juga berlainan.

“Gebar ini umpama pengganti diri yang akan menemani anak jika mereka berjauhan dengan saya apabila melanjutkan pengajian ke luar negara satu hari nanti,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, gebar itu menjadi seperti ‘azimat’ kepada mereka supaya tidak berasa keseorangan tanpa keluarga di sisi.

Pensyarah UiTM Cawangan Perak itu berkata, karya terbabit dihasilkan menggunakan teknik jahitan sulaman cantum yang dibuat secara manual menggunakan tangan sepenuhnya.

“Ini juga menunjukkan tangan ibu mempunyai ‘kuasa’ yang cukup kuat bukan saja digunakan untuk melaksanakan tugasan di rumah seperti memasak tetapi juga menjahit demi anak tersayang,” katanya.

Seorang lagi pelukis, Alice Chang Oi Lai pula lebih cenderung melukis visual gajah sebagai objek utama lukisannya kerana haiwan berkenaan mempunyai hubungan kekeluargaan yang cukup erat.

“Haiwan ini sentiasa bergerak dalam kumpulan bersama ahli keluarganya. Gajah jantan pula sentiasa melindungi gajah betina dan anaknya.

“Masyarakat hari ini perlu melihat nilai kekeluargaan yang ada pada haiwan berkenaan kerana hubungan murni itu kian luntur dalam kalangan manusia.

“Senario gemar bermain telefon bimbit berbanding berbual bersama keluarga ketika keluar makan sudah menjadi kebiasaan dan perbuatan seperti ini menjejaskan nilai kekeluargaan,” katanya yang menghasilkan lukisan menggunakan cat minyak atas kanvas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad berkata, sepanjang 60 tahun penubuhannya, BSN sudah mengadakan beberapa pameran untuk pelukis wanita.

“Lukisan yang dipamerkan memberikan makna sentuhan wanita sangat menarik dan kreatif.

“Palitan berus di kanvas menunjukkan keakraban mereka dengan alam, sentuhan kasih sayang, keprihatinan dan nilai kemanusiaan,” katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 1:28pm
d