nuansa

Keputusan legakan ibu bapa

Oleh Fazurawati Che Lah

Kasut putih biasanya mudah kotor, dibasuh selalu pula cepat koyak, jadi memang perlu ada lebih daripada sepasang.

Itu antara rungutan ibu bapa berkenaan pemakaian kasut sekolah anak mereka hari ini.

Tentunya pengumuman Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkenaan pemakaian kasut hitam pada tahun hadapan melegakan ibu bapa.

Segelintir tidak kisah untuk mengeluarkan belanja membeli kasut hitam baharu kerana ia sudah termasuk dalam perbelanjaan persekolahan setiap tahun.

Pegawai Tadbir Khairul Elmi Khalidah Adham, 35, bersetuju dan tidak menganggap ia satu bebanan kepada ibu bapa terhadap keperluan berkenaan.

Katanya, dia sendiri memperuntukkan tiga pasang kasut untuk setiap anak yang bersekolah setiap tahun.

“Anak cepat membesar dan perlu selalu tukar kasut sekolah antara empat atau lima bulan sekali, jadi perkara ini tiada masalah sekiranya pelaksanaan pemakaian kasut hitam pada tahun hadapan.

“Saya rasa setiap ibu bapa memang akan memperuntukkan kasut baru kepada anak setiap tahun. Malah tempoh setahun diberikan menteri melegakan ibu bapa untuk bersedia dengan peralihan itu,” katanya.

Dia juga meminta pihak kementerian tidak menetapkan kasut PVC saja untuk dipakai murid kerana harganya lebih mahal berbanding kanvas.

Sementara itu, suri rumah Raha Mat Ghazali, 40, berkata, pemakaian kasut berwarna hitam akan memperlihatkan pelajar lebih segak dan berkarisma.

Bagaimana pun, ibu bapa harus memberi perhatian dari sudut kebersihan sama seperti kasut putih bagi mengelak bau tidak enak.

“Biarpun kasut hitam tidak menampakkan kekotoran, jangan pula teruja hingga terlupa mencuci kasut anak.

“Kebersihan harus juga dijaga, cuma kerja cucian lebih mudah berbanding kasut putih yang perlu masa lama untuk dibasuh,” katanya.

Raha turut bersetuju memakai kasut hitam boleh menjimatkan kos kerana dia tidak perlu membeli banyak pasang kasut untuk tiga anaknya yang bersekolah rendah dan menengah.

“Saya tidak perlu lagi membeli kasut putih untuk rutin ke sekolah harian dan kasut hitam untuk aktiviti kokurikulum ataupun untuk anak yang jadi pengawas sekolah. Mereka boleh memakai satu kasut saja untuk semua aktiviti di sekolah,” katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 1:30pm
d