nuansa

Selamat tinggal kasut putih

Oleh Fazurawati Che Lah

Kasut hitam tahun hadapan! Di sana sini orang ramai memperkatakan berkenaan pengumuman Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik itu.

Kecoh di laman sosial apabila ada yang cuba menegakkan pandangan masing-masing sejak beberapa minggu lalu.

Dengan pengumuman itu, tiada lagi pelajar atau murid memakai kasut putih ke sekolah pada tahun hadapan.

Walaupun ada baik dan buruknya daripada pelaksanaan itu, ramai yang berpandangan, lebih sesuai murid sekolah memakai kasut hitam.

Memang tidak dinafikan ramai ramai ibu bapa mengeluh melihat kasut anak masing-masing pada petang Isnin. Mana tidaknya, kasut putih bertukar warna ‘belacan’ walaupun baharu hari pertama sekolah.

Jika diikutkan pengalaman penulis ketika zaman persekolahan dulu, kasut putih memang sukar dijaga tambahan pula murid sekolah rendah.

Tidak sampai separuh hari, kasut bertukar warna, balik dari sekolah penulis sudah bersedia menadah telinga mendengar bebelan emak yang geram melihat kasut sekolah anaknya. Baru sehari dipakai sudah kotor!

‘Drama’ sedemikian terus berlarutan hingga pengumuman Dr Maszlee. Ia seolah-olah bonus besar kepada ibu bapa kerana tidak perlu lagi terbeban dengan masalah kasut ‘belacan.’

Bagaimana pula dengan guru? Adakah ia satu langkah pelaksanaan yang baik kerana mereka tidak perlu lagi berdepan dengan murid memakai kasut kotor?

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi Zainudin Mohamad berkata, pihak sekolah tiada masalah melaksanakan pertukaran itu dan menyifatkan keperluan kasut hitam dapat mengurangkan isu kebersihan kasut terutama ketika perhimpunan mingguan.

Katanya, pemakaian kasut hitam juga dilihat lebih seragam dan sesuai dengan status murid yang aktif di sekolah serta terbabit dengan aktiviti bersukan.

Malah katanya, sebahagian besar khususnya murid sekolah rendah berdepan masalah kasut cepat kotor kerana belum mempunyai kesedaran untuk menjaga kebersihan.

“Rata-rata murid khususnya darjah satu terlalu aktif bermain pada waktu rehat. Mereka ini belum mampu untuk menjaga kebersihan kasut terutama kasut putih yang sangat mudah untuk kelihatan kotor,” katanya.

Jelasnya, pelaksanaan itu juga perlu dilakukan secara berperingkat oleh kementerian supaya jelas memperlihatkan keprihatinan dan ibu bapa tidak berasa terbeban.

Katanya, garis panduan yang jelas perlu dikeluarkan kementerian bagi memastikan penukaran kasut itu berjalan dengan baik dan dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Kerajaan boleh juga memberi bantuan berbentuk baucar kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk meringankan beban membeli kasut hitam baharu.

“Sekolah juga tidak akan mengambil tindakan tegas sekiranya pelajar masih memakai kasut putih pada tahun hadapan kerana perkara ini memerlukan masa untuk pelaksanaan sepenuhnya,” katanya.

Katanya, pelaksanaan itu memberi manfaat terutama ibu bapa kerana akan menjimatkan peruntukan kasut untuk anak mereka bagi tempoh setahun.

“Pelaksanaan itu dapat meringankan beban dari segi ekonomi keluarga kerana mengurangkan kos membeli kapur kasut dan tidak terlalu mendesak membeli lebih daripada sepasang kasut, seperti sekarang.

“Maklumlah kasut putih mudah kotor, kadangkala apabila dibasuh, ia tidak sempat kering dan jika dibasuh selalu pula cepat koyak serta rosak. Jadi memang perlu ada lebih daripada sepasang,” katanya.

Sementara itu, Guru Disiplin Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan U3 Mohd Jamalizam Hamzah, bersetuju kerana ia membabitkan isu kebersihan dan pemakaian kasut hitam sesuai untuk murid yang aktif bersukan.

Namun, katanya, ada kerisauan juga apabila murid gagal menjaga kebersihan kasut hitam dengan baik.

Katanya, penggunaan kasut hitam akan membuatkan sesetengah murid malas untuk membasuhnya apabila memikirkan ia tidak kotor.

“Apabila pakai kasut hitam, kotornya tidak nampak. Kemungkinan ada sesetengah ibu bapa kurang mengambil berat mengenai tahap kebersihannya.

“Antara masalah baru mungkin dialami kelak sudah tentu bau kasut dan stoking kurang menyenangkan apabila tidak dibasuh. Lebih-lebih lagi apabila masuk bilik khas yang tidak perlu membuka kasut,” katanya.

Katanya, pelaksanaan keperluan itu bagus tapi perlu kerjasama daripada ibu bapa bagi memastikan kebersihan kasut terjaga.

Jelasnya, aspek kebersihan bergantung kepada sikap seseorang bukan terletak pada pemakaian warna kasut.

Menurut Dr Maszlee, peraturan kasut hitam itu akan dilaksanakan di semua sekolah, termasuk sekolah agama di bawah kerajaan seluruh negara.

Beliau turut memberi tempoh kelonggaran setahun terhadap pelaksanaan pemakaian kasut hitam sebagai langkah tidak membebankan ibu bapa selain menyesuaikan pelbagai pihak terhadap peraturan baharu itu.

Katanya, kementerian tidak akan melaksanakan dasar baharu itu secara drastik dan tergesa-gesa kerana faham kebimbangan pelbagai pihak, terutama ibu bapa.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 1:37pm
d