nuansa

Menjengah zaman silam

Oleh Hafiz Ithnin

Segak berpakaian tradisional Melayu silam, seri tanjak di kepala juga tidak dilupakan. Alunan muzik irama asli yang dimainkan menjadi latar membangkitkan semangat dan jiwa pendekar.

Itu antara aura seni silat Persatuan Cahaya D’elima, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) yang dipersembahkan kepada penonton.

Persembahan itu bukan saja membangkitkan semangat dan jiwa anak muda yang tampan mempamerkan kebolehan bersilat malah berjaya membawa pengunjung untuk terus berada di Muzium Kesultanan Melayu Melaka.

Seorang demi seorang pengunjung dari dalam dan luar negara masuk ke dalam istana dihasilkan sama seperti Istana Sultan Mansur Shah yang memerintah dari 1456 hingga 1477.

Beroperasi sejak 2008, muzium berkenaan mempunyai seni bina yang agak unik kerana 80 peratus menggunakan kayu antaranya cengal, resak dan berlian. Melihat dari luar saja, istana replika itu sememangnya sudah mampu memukau pandangan pengunjung.

Sebaik memasuki perut istana itu, di bahagian kiri kelihatan barisan ‘Pembesar Melaka’ bersiap kemas menghadap ‘Sultan Melaka’ sedang bersemayam di balairong. Setiap pembesar itu mempunyai jawatan masing-masing yang boleh dibaca maklumatnya pada papan fakta disediakan.

Kurator PERZIM Ruhaiza Zawawi berkata, muzium itu menawarkan konsep diorama bagi memberikan gambaran yang jelas kepada pengunjung berkenaan perjalanan sejarah Kesultanan Melayu Melaka terutama dari 1400 sehingga kejatuhannya pada 1511.

Beliau berkata, setakat ini pihak muzium tidak mengambil pendekatan untuk menampilkan konsep teknologi seperti hologram memandangkan ia membabitkan perbelanjaan yang agak tinggi.

“Bagaimanapun, konsep tradisional yang dipamerkan di muzium ini masih dapat memikat kehadiran pelancong terutama dari luar negara.

“Malah ia jelas dapat dilihat apabila merekodkan 300,000 pengunjung setahun iaitu pelawat campuran tempatan dan asing.

“Selain memaparkan sejarah Kesultanan Melayu Melaka, pengunjung juga berpeluang mendekati perjalanan sejarah pahlawan tersohor, Hang Tuah. Kami menggunakan seni lukisan bagi memberi gambaran perjalanan kisahnya kepada pengunjung,” katanya.

Tidak sekadar kisah Hang Tuah, di sini pengunjung juga dapat mengetahui lebih mendalam berkenaan sistem perundangan yang dilaksanakan pada zaman itu dan semestinya memberi manfaat terutama kepada pelajar sekolah.

Bagi memberi pemahaman yang lebih jelas, pihak muzium juga boleh mengadakan aktiviti seperti kuiz sekiranya terdapat permintaan daripada kumpulan yang berhasrat untuk berkunjung.

Ruhaiza berkata, aktiviti kuiz yang dianjurkan pihak muzium menjadikan pengunjung lebih aktif ketika berada di situ.

“Soalan yang disediakan mempunyai jawapan di papan fakta yang terdapat di dalam muzium yang mana ia memberi kelainan dari segi aktiviti kepada pengunjung sekiranya melawat muzium.

“Menerusi aktiviti ini juga mereka boleh menjadi lebih faham penceritaan sejarah yang terdapat di sini dan di akhir cabaran mencari jawapan, mereka juga akan diberi hadiah unik seperti beras,” katanya.

Selain itu, orang ramai juga boleh menyertai pelbagai aktiviti lain yang ditawarkan dalam hari tertentu untuk merasai pengalaman bermain permainan tradisional seperti congkak, baling tin dan capteh.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 1:23pm
d