nuansa

Pejuang alam

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Sesiapa saja yang mengenali lelaki ini pastinya kagum dengan kisah dirinya kerana hampir keseluruhan kehidupannya mendampingi alam sekitar.

Sumbangannya cukup besar dan perjuangan dilakukan bukan saja menerusi kajian penyelidikan tapi juga keberaniannya menentang dasar kerajaan jika melihat sesuatu projek pembangunan berisiko memberi kesan buruk kepada alam sekitar.

Individu luar biasa ini adalah Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor, 78, yang juga bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM).

Dalam erti kata yang mudah, Dr Salleh dan alam sekitar berpisah tiada! Lebih-lebih lagi beliau turut menaburkan baktinya menjadi Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) selama 30 tahun.

Perjuangannya membela alam sekitar mendapat banyak pengiktirafan peringkat nasional dan antarabangsa. Dua tahun lalu, beliau menerima Anugerah Merdeka bagi kategori alam sekitar di atas sumbangan cemerlang dalam memulihara alam sekitar dan hutan di negara ini.

Tak kenal maka tak cinta, perumpamaan itu boleh menggambarkan bagaimana anak kelahiran Negeri Sembilan ini boleh jatuh cinta dengan alam sekitar.

Segala-galanya bermula apabila beliau berkhidmat sebagai Pegawai Inventori Hutan di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia selepas menamatkan pengajian peringkat Diploma di Sekolah Perhutanan Australia dan Ijazah Sarjana Muda Perhutanan dari Universiti Adelaide, Australia pada 1964.

Dr Salleh berkata, beliau terbabit dengan tugas inventori hutan selama enam tahun dan sering berkhemah serta pernah tinggal dalam belantara selama dua bulan.

“Ini membuatkan saya ‘jatuh cinta’ kepada hutan dan akrab dengan alam semula jadi.

“Berada dalam hutan mendedahkan saya kepada banyak perkara dan pengalaman tidak dapat dilupakan apabila menyaksikan sendiri aktiviti pembalakan serta penerokaan hutan secara berleluasa di kawasan berkenaan.

“Sudah tentunya saya sedih melihat hutan yang saya sayangi ini diperlakukan seperti itu. Pokok yang besar ditebang dan ribuan lori membawa keluar khazanah semula jadi,” katanya kepada Nuansa.

Beliau berkata, ini kerana pada masa itu pembukaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) rancak dilakukan.

“Hutan ini ditebang lalu dijadikan ladang bagi tujuan penanaman pokok getah dan kelapa sawit untuk dua pembukaan tanah rancangan kerajaan berkenaan.

“Ini adalah pengorbanan negara dalam mencapai kemajuan seperti yang dinikmati rakyat pada hari ini,” katanya.

Pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dari Universiti Michigan State ini berkata, apabila kembali ke tanah air beliau dilantik sebagai Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan (FRI) Kepong.

Bagaimanapun, Dr Salleh kurang bersetuju dengan perkembangan FRI dan penyelidikan dijalankan institusi terbabit.

“Saya mencadangkan kerajaan menukar status FRI menjadi sebuah badan berkanun dan akhirnya institusi berkenaan ditukar nama kepada FRIM pada 1985.

“Susulan daripada itu, saya dilantik menjadi Ketua Pengarah FRIM pertama hingga bersara pada 1995,” katanya.

Terbukti pemilihan Dr Salleh untuk menerajui FRIM adalah tepat apabila beliau berjaya menjadikan FRIM sebagai sebuah institusi penyelidikan hutan tropika bertaraf dunia.

Katanya, beliau menjalankan beberapa penyelidikan dan yang paling berjaya adalah penyelidikan kayu getah hingga nilai pasaran kayu itu meningkat daripada RM600,000 setahun pada 1970-an kepada lebih RM6 bilion pada 1990-an.

“Penyelidikan ini dijalankan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Getah Malaysia menerusi penubuhan Jawatankuasa Penyelidikan Kayu Getah Negara yang turut membabitkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Universiti Putra Malaysia (UPM) serta pihak swasta.

“Hasil kajian selama enam bulan menemui penyelesaian bagi mengelakkan kayu getah diserang serangga selepas 24 jam ditebang.

“Ia menerusi dua kaedah iaitu pengawetan dan mengurangkan kayu bengkok selepas dipotong,” katanya.

Katanya, itu menjadi pemangkin kepada perkembangan industri perabot di negara ini menggunakan kayu getah hingga produk berkenaan mendapat permintaan dari seluruh dunia.

“Teknologi ini juga digunakan di negara luar seperti Afrika, Amerika Selatan dan beberapa negara Asia lain yang mempunyai industri getah,” katanya.

Katanya, lebih empat seminar peringkat antarabangsa dan kebangsaan diadakan khusus membincangkan berkenaan pokok getah.

Selain itu, Dr Salleh turut menjalankan projek Tree Flora apabila beliau bersama sekumpulan ahli botani menjelajah ke seluruh negara untuk mengenal pasti jenis pokok yang terdapat di negara ini.

“Kami ambil sampel pokok dan simpan dalam makmal untuk rujukan serta menghasilkan 10 buku yang menumpukan kepada jenis, ciri dan cara mengenal setiap spesies tumbuh-tumbuhan.

“Projek ini masih diteruskan walaupun sudah dimulakan sejak 1987 kerana terdapat banyak spesies tumbuhan belum dikenal pasti,” katanya.

Katanya, penyelidikan itu berjaya menyelamatkan jutaan hektar hutan tropika daripada ditebang untuk industri berasaskan kayu.

Ditanya berkenaan masalah pencemaran alam sekitar di negara ini Dr Salleh berkata, masalah paling utama ialah perubahan iklim yang tidak hanya berlaku di negara ini tapi global.

“Perubahan iklim menyebabkan cuaca tidak menentu dan kepanasan suhu meningkat yang akhirnya memberi impak kepada tumbuh-tumbuhan, haiwan, hidupan akuatik dan manusia.

“Masalah seperti ini disebabkan perbuatan manusia sendiri yang langsung tidak peka terhadap alam sekitar kerana tamak mengejar keuntungan,” katanya.

Oleh itu, katanya, kesedaran alam sekitar perlu dipupuk dari peringkat sekolah rendah dengan menggalakkan murid menyertai Kelab Pencinta Alam di sekolah.

“Didik mereka menyayangi alam sekitar dan jelaskan kepada mereka impak buruk jika masalah sedemikian tidak diatasi,” katanya.

Dr Salleh masih aktif memberi ceramah berkenaan perhutanan dan pemuliharaan di samping menulis serta menerbitkan 16 buku bagi meneruskan minatnya dalam penulisan berkenaan alam sekitar.

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 1:49pm
d