nuansa

Platform bentuk kemenjadian murid

Oleh Fazurawati Che Lah

Modul 10 Minit Perhimpunan (M10MP) dan seni pengucapan alaf baharu (PETAH) dinobatkan pemenang Pertandingan Inovasi dan Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif, Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seorang daripada pengasas M10MP, Norani Abd Rahim, 49, yang juga Pensyarah Cemerlang IPGKIK berkata, program itu menjadi platform membentuk kemenjadian murid di samping memberikan wajah baru perhimpunan mingguan di sekolah.

Sementara itu katanya, PETAH yang diilhamkan adalah inovasi komersial dan mendapat sambutan baik daripada guru dan murid seluruh negara.

“PETAH adalah seni pengucapan awam alaf baru yang tiada dalam mana-mana pertandingan, baik dari segi format mahupun keseluruhan program. MP10MP kini mula dilaksanakan di beberapa sekolah seluruh negara. Kedua-dua inovasi ini akan dipertandingkan di peringkat kebangsaan,” katanya.

Dalam pada itu, Norani yang juga penulis buku bertema keselamatan kanak-kanak berkata, kes bayi lelaki, Adam Rayqal Mohd Sufi, lima bulan, yang ditemui mati dalam peti sejuk di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selayang, memberi kesedaran kepadanya untuk menulis lebih banyak buku berkaitan keselamatan kanak-kanak.

Ibu kepada tujuh anak itu berkata, aspek keselamatan kanak-kanak menjadi agenda utama setiap ibu bapa, selain memberikan perlindungan, anak sentiasa diawasi supaya terselamat daripada pelbagai ancaman di persekitaran mereka.

“Buku tulisan saya dengan bimbingan dan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menampilkan enam tajuk dalam siri ‘Saya Selamat’,” katanya.

Setakat ini Norani menghasilkan lebih 100 hasil tulisan sejak bergiat aktif sebagai penulis pada 2004 dengan memperuntukkan masa sekitar jam 11 malam hingga 1 pagi untuk berkarya.

Mendekati penulis ini dengan lebih mendalam, beliau juga sentiasa kreatif dan inovatif dalam menghasilkan banyak inovasi berimpak tinggi dan bermanfaat kepada murid, sekolah serta dunia pendidikan.

Antara tajuk dalam siri ‘Saya Selamat’ ialah Saya Selamat di Rumah, Saya Selamat di Jalan raya, Saya Selamat di Pusat Beli-Belah, Saya Selamat di Sekolah, Saya Selamat di Hentian Awam dan Saya Selamat di Taman Rekreasi yang ditulis bersama dua lagi rakan, Norhaflinda Mohd Shahabuddin dan Afida Dahari.

Menurut Norani, kanak-kanak perlu diberikan ilmu dan penyelesaian dalam menghadapi cabaran keselamatan. Buku cerita yang berkonsepkan informatif ini memberikan variasi kepada buku kanak-kanak, sebagai tambahan kepada buku sedia ada di pasaran yang kebanyakannya berbentuk penceritaan dan karya kreatif.

“Selain menulis buku kanak-kanak, saya juga memberi bimbingan kepada siswa yang berminat dalam dunia kewartawanan di IPGKIK. Melalui Media Kampus, pendidik muda dilatih menulis berita dan rencana serta berpeluang menghantarnya ke media massa,” katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 1:52pm
d