nuansa

Bengkel keselamatan kebakaran

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Mereka berusia antara enam hingga 12 tahun, tapi sudah didedahkan dengan maklumat mengenai bahaya kebakaran di rumah apatah lagi bencana itu berlaku tanpa dijangka.

Pendedahan itu dilakukan menerusi Bengkel Keselamatan Kebakaran anjuran Grand Millennium Kuala Lumpur (GMKL) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur. Ia disertai kira-kira 80 kanak-kanak kurang bernasib baik, baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada penghuni Rumah Kasih Nurul Hasanah, Pertubuhan Amal dan Kemanusiaan Selangor, Persatuan Kebajikan Ti-Ratana dan Rumah Perlindungan Untuk Kanak-Kanak.

Program dimulakan dengan ceramah menarik bertajuk kesedaran keselamatan kebakaran yang disampaikan Pegawai Cawangan Kesedaran Keselamatan Awam JBPM Kuala Lumpur Mohamad Nu’aim Izzudin Hanafiah.

Dalam ceramah berkenaan, peserta diberi peluang menonton video berdurasi tiga minit memaparkan situasi sebenar kebakaran yang boleh memusnahkan kediaman dan menyebabkan kematian dalam tempoh itu.

Selain itu, peserta juga berpeluang merasai pengalaman melakukan semburan menggunakan gelung hos daripada jentera bomba.

Program dirasmikan Pengarah JBPM Khairudin Drahman dan turut dihadiri Pengurus Besar GMKL Peter Gibbons.

Mohamad Nu’aim Izzudin berkata, program itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) JBPM untuk memberitahu masyarakat berkenaan langkah awal menyelamatkan diri dan keluarga apabila berdepan kebakaran.

Beliau berkata, terdapat tiga punca yang menyumbang berlakunya insiden itu iaitu lupa, lalai dan leka.

“Kajian menunjukkan 99 peratus kejadian berlaku disebabkan kelalaian penghuni rumah itu sendiri.

“Kelalaian ini kerana sikap mengambil mudah beberapa perkara seperti kerosakan peralatan elektrik di rumah. Keluar rumah pula tidak menutup peralatan berkenaan,” katanya.

Katanya, memang perkara itu kelihatan mudah namun ia mengundang perkara yang tidak diingini berlaku. Beliau turut berkongsi tip 3L iaitu lawan, lapor dan lari jika berhadapan dengan situasi kebakaran.

“Kebakaran boleh dilawan jika mengambil tindakan pantas menggunakan peralatan betul untuk memadam api.

“Segera lapor kejadian itu dengan menghubungi pihak bomba dan lari menyelamatkan diri sekiranya api kebakaran sudah marak,” katanya.

Menurutnya, kebakaran boleh dipadamkan jika ia berlaku dalam masa satu minit dan kematian mangsa disebabkan lemas kerana terhidu asap.

Pada masa sama, penganjuran program berkenaan dilihat tepat apabila membabitkan kanak-kanak dengan aktiviti sosial seperti itu kerana menjadikan mereka lebih bersedia jika berhadapan senario terbabit.

Peserta, Najmie Naim Sabri Rizal, 9, dari Rumah Kasih Nurul Hasanah berkata, dia pernah melihat kejadian kebakaran rumah jiran neneknya di Ampang, Selangor tiga tahun lalu.

“Pengalaman itu tidak dapat saya lupakan hingga hari ini kerana berasa takut melihat api dan asap tebal. Mujur pihak bomba datang awal dan dapat mengelakkan rumah itu dari hangus terbakar,” katanya.

Katanya, dia akan memanfaatkan ilmu keselamatan kebakaran dengan sentiasa berwaspada terutama memastikan keselamatan rumah kebajikan dihuninya terjamin.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 3:00pm
d