nuansa

Nota Al-Haramain: Detik ditunggu sudah tiba

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein

Detik ditunggu kini tiba. Insya-Allah jam 2 petang ini waktu Makkah dan jam7 malam di Malaysia, kami rombongan petugas media Tabung Haji (TH) bertolak ke Arafah bagi melaksanakan wukuf esok bersama hampir tiga juta jemaah haji lain.

Detik penting ini hadir selepas 43 hari meninggalkan tanah air bagi melaksanakan tanggungjawab membuat liputan ibadat haji 1439 Hijrah dan pada masa sama menunaikan ibadat haji.

Syukur alhamdulillah di atas peluang ini dan terima kasih kepada TH kerana memberi bimbingan bagi memastikan kami dapat melaksanakan ibadat sebaik mungkin di sebalik tugasan membuat liputan setiap hari.

Sudah sekian lama saya mendengar ungkapan wukuf kemuncak haji namun sebelum ini kurang memahami apa sebenarnya maksud serta falsafah di sebalik kalimah itu.

Alhamdulillah, di bangunan penginapan kami iaitu hotel Abraj Al-Janadiyah di Makkah kami petugas media diberi ruang khas sebagai pejabat pada aras sama dengan pejabat petugas operasi haji TH.

Paling istimewa, sebelah kiri bilik atau pejabat kami ialah pejabat pakar rujuk ibadat haji dipengerusikan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dua lagi ahlinya ialah Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Noh Gadut dan Pensyarah Universiti Malaya Profesor Madya Dr Raihanah Azahari.

Jadi, kami senang berjumpa dengan tokoh dan pakar agama ini, selain diberi sesi khas mewawancara mengenai apa juga topik berkaitan haji.

Apabila ditanya kepada Dr Zulkifli mengenai keistimewaan wukuf di Arafah dan mengapa ia dianggap kemuncak ibadat haji, berikut jawapan beliau: “Arafah ini satu tempat asalnya padang, seolah-olah menggambarkan kita seperti di Mahsyar. Hanya di Arafah acara ibadat haji dilakukan secara bersama, pada waktu dan tempat yang sama.

“Ibadat lain seperti tawaf, saie dan melontar di jamrah, boleh dilakukan pada masa berbeza. Tapi wukuf kena serentak.

“Semua jemaah masuk ke Arafah pada tarikh 9 Zulhijjah dan selepas Zohor semua kena berwukuf.

“Wukuf satu manifestasi seorang hamba kepada Tuhannya. Apabila seseorang itu berada di Arafah, berlaku interaksi antara hamba Allah dengan Allah.

“Nabi bersabda, Allah bertanya kepada malaikat, kenapa mereka datang dan apa tujuan mereka?

“Maka dijawab malaikat, wahai Tuhan mereka datang menzahirkan kehambaan, memohon keampunan, mencari keredaan, memohon syurga dan menyelamatkan daripada neraka.

“Maka Allah menyatakan wahai malaikat-Ku, kamu saksilah bahawa aku ampunkan dosa mereka semua. Dalam riwayat lain pula menyatakan, aku beri apa yang mereka minta.

“Aku selamatkan daripada apa yang mereka rasa takut.”

Semoga pencerahan Dr Zulkifli ini memberi lebih penghayatan untuk saya berwukuf esok dan semoga ia memberi manfaat kepada pembaca semua.

Doakan ibadat saya, petugas media, petugas TH serta semua jemaah di Arafah esok dipermudahkan.

Begitu juga ibadat kami seterusnya di Muzdalifah dan Mina.

Disiarkan pada: August 19, 2018 @ 1:21am
d