nuansa

Jangan ambil mudah

Oleh Fazurawati Che Lah

Isu pemakaian topi keledar dalam kalangan pelajar sekolah rendah atau menengah sering diperkatakan dan dibincangkan.

Ini kerana penggunaan motosikal dalam kalangan pelajar kini sudah menjadi perkara biasa, cuma ramai yang kurang mengutamakan aspek keselamatan iaitu tidak memakai topi keledar.

Tinjauan Harian Metro di beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur mendapati ramai pelajar tidak kira lelaki atau perempuan menunggang motosikal dengan cara berbahaya selain tidak memakai topi keledar.

Ada ibu bapa tidak menitikberatkan pemakaian topi keledar kepada anak mereka.

Kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun yang menjadi pembonceng dibiarkan tanpa memakai topi keledar ketika pergi dan pulang dari sekolah, sedangkan kepala ibu bapa sendiri dilindungi.

Kenapa keselamatan itu dipandang ringan oleh ibu bapa? Adakah kerana jarak rumah dan sekolah yang tidak jauh menyebabkan perkara itu tidak diberi keutamaan?

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat Kelantan Che Husin Che Soh berkata, pemakaian topi keledar dalam kalangan pelajar terutama murid di sekolah rendah masih rendah.

Katanya, ibu bapa yang menggunakan motosikal menghantar dan mengambil anak mereka dari sekolah masih memandang remeh pemakaian topi keledar itu.

“Sikap pandang mudah ibu bapa ini disebabkan beberapa faktor antaranya jarak sekolah yang dekat dengan rumah.

“Keadaan ini membuatkan mereka berasakan ia tidak begitu penting kerana anak adalah murid sekolah rendah dan tidak dikenakan tindakan jika tidak memakai topi keledar.

“Bagi ibu bapa yang menghantar dan mengambil anak dari sekolah, topi keledar kedua mungkin agak menyusahkan untuk dibawa apatah lagi jika mereka terus ke tempat kerja,” katanya.

Jelas Che Husin, pemakaian topi keledar itu sebenarnya menjurus kepada pemupukan dan pematuhan disiplin diri serta sahsiah murid itu sendiri.

“Malangnya perkara ini sering terlepas pandang sedangkan dalam fasa inilah ibu bapa sepatutnya pupuk dan tanamkan nilai penting ini ke dalam diri anak sebelum mereka menjengah umur remaja dan akhirnya terbawa-bawa hingga dewasa. Secara tidak langsung ia mampu membentuk pembangunan modal insan yang bersahsiah dan cemerlang,” katanya.

Katanya, sebaik berada di atas jalan setiap orang sebenarnya terdedah kepada bahaya. Risiko bahaya ini lebih tinggi jika ibu bapa berada dalam keadaan tergesa-gesa supaya anak tidak lewat sampai ke sekolah.

“Sama ada jalan kampung atau jalan raya utama, kes kemalangan motosikal sering berlaku. Apatah lagi jika kawasan itu mempunyai kepadatan penduduk tinggi yang menyebabkan lalu lintas sibuk.

“Topi keledar adalah alat perlindungan untuk anggota paling penting iaitu kepala. Selain kemalangan membabitkan kenderaan lain, ada juga kes kemalangan sendiri iaitu murid sekolah terjatuh motosikal akibat jalan licin atau berlopak.

“Jadi penggunaan topi keledar mampu menyelamatkan nyawa dan mengurangkan risiko kecederaan serius seperti keretakan tempurung kepala, pendarahan, kerosakan pendengaran serta penglihatan,” katanya.

Menurut perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perangkaan Kemalangan Jalan Raya Malaysia, bilangan kemalangan jalan raya di Malaysia berjumlah 533,875 kes dengan jumlah kematian sebanyak 6,740 bagi 2017. Daripada jumlah kematian itu, sebanyak 64.5 peratus membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Berdasarkan jumlah terkumpul itu, dianggarkan lebih 1,400 kemalangan berlaku setiap hari atau 61 kemalangan setiap satu jam dan satu kes untuk satu minit.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Petaling 2 Kuala Lumpur Razali Muda berkata, kerjasama semua pihak perlu dilaksanakan bagi memastikan pemakaian topi keledar menjadi satu kebiasaan.

“Kerjasama 3P iaitu pendidikan, pihak berkuasa dan pemantauan masyarakat sendiri. Ia perlu selaras dengan Anjakan Kesembilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015 untuk menggalakkan pembabitan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta di sekolah terutama dalam isu keselamatan.

“Sekiranya perkara yang dipandang ‘remeh’ itu dibiarkan, ia akan menjadi budaya dalam kalangan masyarakat dan sukar diubah sekiranya tidak dibendung sejak awal,” katanya.

Pada masa sama, pihak polis boleh melakukan pemantauan di kawasan sekolah dan mengeluarkan saman kepada ibu bapa atau pelajar yang gagal berbuat demikian.

Sementara itu, Pengarah Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Kulanthayan KC Mani berkata, hasil penyelidikan awal UPM menunjukkan hanya tiga peratus kanak-kanak menggunakan topi keledar kanak-kanak dengan piawaian SIRIM.

Katanya, 37 peratus lagi menggunakan topi keledar dewasa piawaian SIRIM yang saiznya terlalu besar untuk kanak-kanak.

“Manakala 36 peratus menggunakan topi keledar permainan (plastik) yang tidak akan memberikan perlindungan keselamatan kepada kanak-kanak semasa membonceng motosikal dan bakinya 24 pula ialah tidak memakai topi keledar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat dan penerangan kepada pegawai akademik muda Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia dan Thailand baru-baru ini.

Jelasnya, sasaran inisiatif Safe Kids Malaysia UPM ini ialah kepada tiga kumpulan berisiko yang merangkumi 97 peratus kanak kanak yang membonceng motosikal.

“Inisiatif ini dimulakan pada 2016 berakhir pada 2017 membabitkan 22 sekolah rendah di Selangor dari daerah Hulu Langat dan Petaling Perdana.

“Sebanyak 1,500 topi keledar kanak-kanak piawaian SIRIM diserahkan kepada kumpulan sasaran inisiatif ini melalui sekolah mereka. Program ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Selangor dan Safe Kids Worldwide USA sebagai rakan antarabangsa inisiatif ini,” katanya.

Katanya, program yang mendapat tajaan Halliburton Foundation dari Amerika Syarikat (USA) itu berjaya meningkatkan penggunaan topi keledar kanak-kanak dari 3.6 peratus kepada 35.5 peratus.

Jelasnya, penggunaan topi keledar orang dewasa turut menunjukkan peningkatan iaitu dari 75.6 kepada 87.3 peratus.

“Diharap dengan peningkatan penggunaan produk keselamatan motosikal, keselamatan kanak-kanak sebagai pembonceng motosikal lebih terjaga,” katanya.

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 2:56pm
d