nuansa

Bukan untuk profesional saja

Oleh Hafiz Ithnin

Pusat Mendaki Tembok Tiruan di Taman Cabaran Putrajaya (PCP), Presint 5 bukan nama baru bagi penggemar aktiviti mendaki tembok tiruan di negara ini.

Diiktiraf sebagai pusat mendaki tembok tiruan terbesar di Asia Tenggara, PCP bukan saja menjadi destinasi kejohanan sukan mendaki tembok tiruan tempatan dan antarabangsa malah ia turut mendapat tumpuan bakat baru untuk berlatih.

Menariknya, bukan sekadar menyediakan kemudahan untuk atlet dan profesional, malah juga menjadi destinasi riadah keluarga kerana mempunyai pelbagai segmen laluan pendakian dan ruang khas buat kanak-kanak.

Pengurus Teknikalnya, Muhd Tamizi Jaafar berkata, di PCP terdapat dua bahagian yang sesuai untuk ibu bapa membawa anak mencuba aktiviti ini iaitu pada ketinggian tiga dan lima meter. Jadi anda boleh pilih mengikut had umur dan ketahanan anak.

Tamizi berkata, kedua-dua kawasan itu tidak memerlukan kanak-kanak menggunakan peralatan mendaki seperti kasut dan abah-abah kerana tilam dihamparkan di lantai dan jarak pendakian juga tidak terlalu tinggi.

Bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga perlu berada di kawasan berkenaan bagi memantau dan memastikan aktiviti yang dilakukan anak yang masih kecil.

“Ahli keluarga yang ingin mencuba aktiviti mendaki di bahagian lain boleh menyewa kasut dan abah-abah dengan harga berpatutan dan menggunakan khidmat pengawal tali yang disediakan untuk melakukan aktiviti pendakian ‘top rope’.

“Mereka boleh mencuba di laluan pendakian yang lebih mudah apabila bentuk batunya selesa dipegang dan agak mudah untuk dicapai. Pada masa sama, pengawal tali juga akan memberi tunjuk ajar cara untuk mendaki dengan betul,” katanya yang juga Presiden Kelab Sukan Mendaki RAGAS.

Katanya, PCP juga menjadi destinasi ramai remaja dan belia berlatih bagi memantapkan skil pendakian masing-masing. Pusat pendakian itu menawarkan aktiviti sihat kepada pengunjung terutama golongan muda yang berkumpul untuk berkongsi ilmu dan pengalaman pendakian masing-masing.

“Di sini, kami bukan sahaja mempunyai pelbagai laluan pendakian yang sesuai untuk atlet menjalani latihan, malah disediakan juga laluan buat golongan yang baru berkenalan dengan sukan ini.

“Antara kemudahan lain yang ada di sini termasuklah kafe, surau, bilik persalinan dan kedai untuk membeli barangan pendakian,” katanya.

Dia memuji tindakan ibu bapa yang membawa anak ke situ untuk mendedahkan mereka dengan sukan mendaki tembok tiruan kerana negara memerlukan atlet pelapis.

“Sekiranya ada anak yang berminat menyertai aktiviti ini dengan serius, kami ada tenaga pengajar berpengalaman untuk menggilap bakat mereka dengan mengikuti kursus pendakian secara berperingkat.

“Dari segi kos, peralatan pendakian tembok tiruan tidak terlalu mahal kerana kasut untuk kanak-kanak boleh dibeli di bawah harga RM200 sepasang dan boleh digunakan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2018 @ 2:04pm
d