nuansa

Bikini batik Fitrah dapat pengiktirafan

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kontraknya sebagai tenaga pengajar di sebuah institut latihan di Pahang tidak disambung memaksanya pulang ke kampung halaman di Setiu, Terengganu.

Namun ujian itu sebenarnya adalah pembuka rezekinya apabila menjadi pereka pakaian pantai wanita dan bikini berasaskan batik di kampungnya yang terkenal dengan pelancong asing.

Kerjayanya lebih berkembang apabila menjadi peserta siri kedua program Usahawan Seni Muda (YAE!) anjuran Balai Seni Negara (BSN) yang berakhir awal Ogos.

Ternyata program itu banyak membantu meningkatkan kemahiran dan kreativitinya diiktiraf apabila dianugerahkan Rainmaker Award 2018 yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Anugerah terbabit diberikan sempena YAE! Pitching Arts Networking Showcase yang mengetengahkan hasil kerja 11 lagi peserta program berkenaan di BSN, baru-baru ini.

Fitrah Kamarudin, 28, berkata, beliau tidak menyangka produk dihasilkannya mendapat pengiktirafan daripada penganjur dan itu membakar semangatnya untuk lebih berusaha pada masa hadapan.

“Idea tercetus kerana Besut adalah kawasan tumpuan pelancong asing untuk beriadah di tepi pantai. Saya melihat ia satu peluang untuk mengeluarkan produk yang boleh mempopularkan keunikan seni kraf tempatan.

“Terengganu terkenal dengan batik dan penggunaan batik sebagai medium utama produk ini yang secara tidak langsung dapat mempromosikannya ke luar negara,” katanya kepada Nuansa.

Bagaimanapun katanya, beliau masih menjalankan penyelidikan untuk menggantikan kain batik kepada kain lebih sesuai seperti lycra.

“Ini kerana kain batik akan menjadi berat apabila terkena air berbanding lycra lebih ringan dan cepat kering.

“Saya sedang berbincang dengan pengedar supaya menghasilkan batik menggunakan kain lycra,” katanya yang berkelulusan Seni Reka Fesyen dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Katanya lagi, beliau kini sedang menunggu bantuan geran daripada SMECorp untuk mengembangkan perniagaannya.

Disiarkan pada: August 29, 2018 @ 12:37pm
d