nuansa

Pameran solo adiguru

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Nama Norhaiza Noordin, penggiat seni ukiran kayu tradisional sememangnya tidak asing dalam kalangan karyawan di negara ini.

Kini giliran karya beliau pula diangkat menerusi pameran solo di Muzium dan Galeri Tunku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Menurut Norhaiza, pameran berkenaan menghimpunkan 70 karya pelbagai reka bentuk koleksi peribadi yang terdiri daripada autobiografi bersama koleksi lukisan analitik dan perkembangan idea bagi dimanfaatkan dalam bidang pendidikan seni khususnya.

Objektif karya yang ialah supaya orang ramai turut memahami kefahaman Norhaiza sebagai artis tradisional, pereka dan pengamal dalam mendokumentasikan seni tradisional dari perspektif kontemporari.

“Semua ukiran seni yang terdapat di sini memberi penekanan berkenaan Motif Melayu Tradisional dan mempunyai ceritanya tersendiri.

“Ini adalah pameran kedua saya pada tahun ini selepas di Balai Seni Negara pada Mac dan April lalu,” kata anak kelahiran Kampung Raja, Besut, Terengganu itu.

Norhaiza ditemui di Majlis Perasmian Pembukaan Pameran Menelusuri Karya Seni Norhaiza di MGTF yang disempurnakan Pengarah Balai Seni Negara Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa, Ombudsman USM Prof Datuk Seri Md Salleh Yaapar dan Pengarah MGTF USM Zolkurnian Hassan.

Antara yang mendapat perhatian ialah beberapa keris ikonik hasil kerja tangannya serta artifak al-Quran lama yang dikumpul sebagai rujukan karya seni beliau.

Malah hasil kerja tangan Norhaiza boleh dilihat di beberapa masjid, istana dan muzium di dalam dan luar negara termasuk ukiran halus yang menghiasi pintu masuk Auditorium Malaysia dan Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, United Kingdom.

Kini Norhaiza memperkembangkan hasil karya seni ukiran tradisional, lukisan dan cetakan tradisional beliau ke medium lain iaitu cat air, akrilik dan beberapa bentuk pewarna.

“Kebanyakan disiplin karya saya menjurus kepada seni tradisional, seperti ukiran keris, sampir keris, seni telepuk dan stensil bermotifkan tradisional pada fabrik.

“Saya juga menghasilkan lukisan berasaskan seni bina yang kebanyakannya direalisasikan bagi karya komisen pelbagai jenis ba­ngunan dan lapisan masyarakat,” katanya lagi.

Lebih membanggakan, Norhaiza turut dinobatkan gelaran Adiguru dalam seni ukir halus oleh Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan. Pada masa sama menjadi ikon dalam seni ukir kayu.

Selain itu, anak murid pengukir bermotif tradisional tersohor, Allahyarham Nik Rashidin Nik Hussein itu turut digelar sebagai ‘pandai kayu dan ‘pandai ukir’ dalam kalangan karyawan.

Pameran berkenaan berlangsung hingga esok bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

PAMERAN MENELUSURI KARYA SENI NORHAIZA

• ARTIS: 1

• KARYA: 70

• TEMPAT: Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), USM.

Disiarkan pada: August 29, 2018 @ 12:42pm
d