nuansa

Meriah kibaran Jalur Gemilang

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Hari Kebangsaan ke-61 turut disambut meriah penduduk Saujana Utama 3, Sungai Buloh, Selangor dengan mengadakan Festival Kemerdekaan 2018 selama dua hari.

Malah, kawasan perumahan terbabit juga dipenuhi dengan kibaran Jalur Gemilang yang dipasang penduduk secara gotong-royong bagaikan pesta bendera.

Kebetulan, 31 Ogos tahun ini jatuh pada Jumaat yang menjadikan cuti hujung minggu itu lebih panjang. Sekali gus membolehkan 1,000 penduduk menyambutnya dengan cara tersendiri tapi meriah.

Pengerusinya, Sarnizam Saron berkata, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang festival berkenaan termasuk jalan kaki riang merdeka, pameran kemerdekaan, pertandingan memasak, mengubah bendera, melukis dan sukaneka.

“Tujuan program ini adalah untuk menggalakkan penduduk yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa berkumpul bersama-sama menyambut serta memperingati hari bersejarah itu.

“Ini secara tidak langsung dapat memperkukuhkan semangat perpaduan, melahirkan perasaan sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain sebagai rakyat Malaysia.

“Pada masa sama bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Sayangi Malaysiaku,” katanya.

Katanya, sambutan itu sangat relevan diraikan kerana dapat menjelaskan kepada generasi muda berkenaan sejarah negara dan memahami erti sebenar kemerdekaan.

“Tanpa jasa dan perjuangan pemimpin terdahulu, tidak mungkin negara akan bebas daripada cengkaman penjajah.

“Masih ramai tidak mengetahui dan mengenali tokoh perjuangan negara dan sewajarnya semangat kemerdekaan dihidupkan sepanjang tahun, bukan bermusim iaitu pada bulan Ogos saja,” katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 4:09am
d