nuansa

Berbudi dalam kedaifan

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Rumah didiami serba kekurangan tanpa sebarang kelengkapan selain menunggu masa diusir keluar pemilik kerana kegagalan melunaskan sewa bulanan.

Namun, tetamu yang bertandang tetap diraikan dengan hidangan air teh biarpun lima beranak itu kekurangan makanan.

Hakikatnya, ia antara tradisi masyarakat Syria yang masih diteruskan walaupun mereka hidup dalam kemiskinan dan bergelar pelarian di Jordan.

Itu sebahagian yang dikongsikan sukarelawan Yayasan Salam, Faiz Qayyum Abd Majid, 28, ketika melakukan misi solonya ke negara berkenaan pada Ogos tahun lalu.

Situasi terbabit benar-benar menyentak hatinya sekali gus menjadi pengalaman sukar dilupakan pemuda itu.

Menurut Faiz Qayyum, pelarian berkenaan tetap tabah menjalani kehidupan sukar dan sentiasa bersyukur biarpun sekadar menikmati makanan sekali sehari.

“Itu pun mereka makan secara ala kadar untuk mengalas perut dan lebih kerap menahan lapar.

“Kanak-kanak menangis kelaparan juga sudah menjadi pandangan biasa hingga saya sendiri tidak dapat menahan sebak tatkala melihat keadaan mereka yang menyedihkan itu,” katanya kepada Nuansa.

Jelasnya, situasi itu jauh berbeza di negara ini namun masih ramai yang tidak bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah.

“Kita sering mengeluh dengan kekurangan itu dan ini tapi alpa bahawa masih ada kesusahan lebih teruk yang dihadapi orang lain. Jika kita lalui mungkin tidak sekuat mereka,” katanya.

Mengimbas kembali pengalamannya, Faiz Qayyum menghulurkan bantuan RM583 (100 dinar Jordan) sebagai bayaran sewa rumah kepada keluarga yang menghadapi masalah kewangan itu.

Menurutnya, beliau berada di sana selama dua minggu dan turut menyampaikan 100 bungkusan makanan kepada pelarian Syria di Kem Pelarian Mafraq.

Mafraq yang terletak kira-kira 20 kilometer dari sempadan Jordan-Syria menjadi penempatan bagi rakyat Syria.

Kemudian aktiviti diteruskan dengan memberi bantuan peralatan sekolah kepada murid di sebuah kelas tuisyen di Irbid iaitu bandar di utara Jordan.

Faiz Qayyum berkata, misi solo dari Malaysia ke Jordan tidak semudah yang disangka apatah lagi pelbagai halangan turut dihadapi.

“Saya ditahan pihak berkuasa lebih satu jam di lapangan terbang di Jordan yang mengesyaki kedatangan saya untuk membantu pelarian Syria dan memasuki Syria melalui negara berkenaan.

“Kekangan komunikasi bahasa Inggeris daripada pihak berkuasa itu turut merumitkan keadaan. Saya kemudian menghubungi sukarelawan di sana yang juga pelajar Malaysia untuk meminta pertolongan dan akhirnya dibebaskan,” katanya yang tidak serik untuk kembali ke Jordan.

Lebih membanggakan, misi solonya itu mendapat kerjasama dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Tangisan Syria di Bumi Jordan (TSDBJ) dan I Am Faith Men. Sementara itu, lima sukarelawan TSDBJ turut mengiringinya sepanjang berada di Jordan.

Sebelum itu, pada 2016 beliau pergi ke Kemboja bagi program MyCorps di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Pada April lalu pula, Faiz Qayyum menyertai misi kemanusiaan di Bangladesh anjuran Yayasan Salam dengan kerjasama alumni MyCorps.

“Saya ke sana bersama empat sukarelawan lain dan misi kali ini memfokuskan kepada pemberian bantuan kepada pelarian Rohingya di Kem Pelarian, Cox Bazar.

“Kami mengajar pelarian perempuan membuat sendiri (DIY) tuala wanita menggunakan kain. Ini kerana di sana mereka tidak memakai tuala wanita ketika haid. Disebabkan kesukaran mendapatkan bekalan tuala wanita, ia menjadi keperluan mendesak di sana,” katanya.

Selain itu, pada Ogos lalu, beliau menyertai misi ke Gaza untuk menyampaikan bantuan makan dan mengadakan beberapa program bersama NGO di sana.

“Saya ke sana bersama seorang pekerja kemanusiaan Yayasan Salam dari Sarawak selama seminggu. Kami turut melawat keluarga The Great Little of March iaitu rakyat Palestin yang berkumpul secara aman di Israel untuk menuntut kebebasan,” katanya.

Dalam pada itu, Faiz Qayyum berkata, pembabitannya dalam aktiviti sukarelawan bukan untuk meraih populariti tapi mahu membuktikan kepada masyarakat individu yang memiliki kelulusan akademik rendah juga boleh berjaya jika ada kemahuan.

Katanya, ini kerana kelulusan akademik sering dijadikan pengukur kepada kejayaan seseorang.

“Saya hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan yang kurang baik. Malah pernah kecewa apabila permohonan untuk menyertai misi kemanusiaan ke Timur Tengah di tiga negara iaitu Lubnan, Turki dan Jordan ditolak kerana keputusan SPM saya itu.

“Bagaimanapun, saya bangkit semula dan memanfaatkan peluang yang ada dalam Yayasan Salam hingga diberikan kepercayaan untuk melaksanakan misi solo ke Jordan, tahun lalu,” katanya yang bersyukur apabila dapat membantu ramai orang yang memerlukan terutama pelarian.

“Insya-Allah saya akan setia bersama Yayasan Salam kerana pertubuhan ini membentuk saya menjadi sukarelawan terbaik. Saya akan berterusan melakukan aktiviti kebajikan kerana ia adalah saham akhirat,” katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 4:30am
d