nuansa

Keris berdiri

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Ramai tidak percaya keris boleh berdiri dengan sendiri walaupun hulunya lebih berat berbanding bilahnya.

Disebabkan itu ramai mengaitkan senjata silam terbabit dengan unsur mistik. Tanggapan berkenaan sukar untuk dikikis dan masih kekal hingga ke hari ini.

Hakikatnya, ia tidak benar kerana kemampuan berdiri adalah di atas faktor keris itu mempunyai titik keseimbangan yang sempurna.

Perkara itu didedahkan Kurator Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM) Siti Noor Aisyah Nazarrudin yang turut menunjukkan kehandalannya mendirikan keris berkenaan kepada penulis, baru-baru ini.

Siti Noor Aisyah, 25, berkebolehan mendirikan Keris Madura iaitu antara koleksi berharga di muzium itu sejak dua tahun lalu.

Lebih mengagumkan, beliau dapat mendirikan keris yang berusia lebih 100 tahun itu dalam tempoh kurang 60 saat.

Selain itu, terdapat pantang larang yang perlu dipatuhi apabila keris itu tidak boleh dipisahkan daripada sarung asalnya. Kegagalan berbuat demikian menyebabkan keris berkenaan tidak mampu berdiri.

Sebaliknya jika meletakkan sarung asal di sebelahnya maka keris akan berdiri dengan stabil.

Tidak semua orang mampu mendirikan keris terbabit kerana perlu mempunyai kemahiran di samping memiliki daya fokus yang tinggi.

Katanya, beliau berlatih selama tiga minggu sebelum berjaya mendirikan keris berkenaan ketika menjalani latihan amali di muzium itu.

“Keris ini boleh berdiri lebih daripada dua minit jika tidak ada sebarang gegaran berhampirannya.

“Saya tidak menidakkan unsur mistik pada keris kerana ia bergantung kepada kepercayaan dan amalan dilakukan pemilik senjata itu,” katanya.

Menurutnya, keris dikaitkan dengan unsur mistik apabila senjata itu ‘dimandikan’ menggunakan perahan limau dan diasapkan kemenyan supaya mempunyai ‘kuasa’ luar biasa.

Biarpun begitu, belum ada kajian saintifik yang membuktikan titik keseimbangan menjadi faktor keris boleh berdiri.

“Pihak muzium akan menjalankan penyelidikan bersama Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Universiti Kebangsaan Malaysia untuk membuat kajian ini secara saintifik yang lebih menyeluruh.

“Kami mahu memperkukuhkannya dari sudut sains dan teknologi. Jika usaha ini berjaya, kebijaksanaan orang Melayu terdahulu dalam membuat senjata ini akan diiktiraf banyak pihak,” katanya.

Apatah lagi keris adalah senjata silam yang sentiasa menjadi tumpuan ramai kerana ia simbol ketuanan Melayu hingga ada taasub dengan senjata itu.

Beliau yang juga Pegawai Tadbir Muzium Warisan Melayu UPM berkata, terdapat lebih 40 keris pelbagai jenis di muzium berkenaan.

“Antaranya Keris Alang yang digunakan untuk melaksanakan hukuman bunuh. Bilah keris ini lurus, pesalah akan duduk melutut lalu keris dihunuskan di bahagian bahu hingga terkena jantung dan akhirnya mengakibatkan mangsa meninggal dunia.

“Bahagian bilah keris mengandungi racun yang ‘dimasukkan’ ketika menempa bilah berkenaan. Racun ini akan mematikan mangsa yang ditikam,” katanya.

Berkenaan sejarah muzium itu pula, Ketua Muzium Warisan Melayu UPM Rahimah Hamdan berkata, ia dibuka pada 2013 untuk menempatkan pelbagai khazanah Melayu bagi tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan.

Menurutnya, muzium berkenaan yang terletak di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi menempatkan lebih 100 koleksi di dua galerinya.

“Galeri Dalam merangkumi empat bahagian iaitu busana, persenjataan Melayu, manuskrip Melayu dan kelengkapan rumah.

“Galeri Luar pula terdapat empat jenis rumah iaitu rumah tradisional negeri Sembilan, Terengganu, Perak dan Pahang,” katanya.

Katanya, terdapat satu koleksi unik di galeri itu iaitu seekor burung cenderawasih yang sudah diawet.

Menurutnya, banyak mitos mengaitkan haiwan terbabit yang dikatakan dari ‘kayangan’ dan turun ke bumi untuk mati.

“Ia dipercayai hanya minum air embun dan makan awan yang menyebabkan tidak berbau busuk apabila mati.

“Bangkai cenderawasih diceritakan memiliki kelebihan termasuk isi perut dan bulunya yang dikatakan mempunyai khasiat untuk perubatan.

“Sebab itu ramai memburu haiwan ini kerana bangkainya boleh dijadikan pelaris,” katanya.

Katanya, Muzium Kesenian Melayu itu turut menyimpan pelbagai manuskrip penting seperti manuskrip ilmu hisab, bahasa Arab, tajwid, usuludin, al-Quran dan pamor keris.

Katanya, manuskrip adalah satu khazanah yang sukar dicari kerana ia menjadi bukti orang Melayu terdahulu mempunyai akal dan budi.

“Tanpa manuskrip ini seolah-olah kita (orang Melayu) hilang maruah. Manuskrip paling menarik perhatian pengunjung di muzium ini ialah manuskrip pamor keris yang dihasilkan daripada kumpulan condong iaitu ulama dari Kelantan.

“Manuskrip ini menceritakan berkenaan keris Hang Tuah dan Hang Jebat. Semua orang tahu keris Hang Tuan dikenali Tamingsari tapi orang tidak mengetahui keris Hang Jebat iaitu Pengkarang,” katanya.

Dalam manuskrip itu juga ada mengatakan harga keris Hang Tuah menyamai Melaka. Melaka dahulu adalah sebahagian dari Pahang, Johor dan Selangor.

“Ini menunjukkan Hang Tuah adalah seorang yang hebat di mata rakyat negeri itu sementara, harga keris Hang Jebat ialah separuh Melaka,” katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 12:00pm
d