nuansa

45 karya 17pelajar ASWARA

MASIH bergelar pelajar tetapi 17 penuntut Diploma Seni Halus Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sudah mula menunjukkan bakat sebagai pelukis menerusi 45 karya pelbagai genre yang dihasilkan.

Garapan dihasilkan menggunakan pelbagai medium seperti pen, akrilik dan media campuran itu dapat menghasilkan kerja seni yang cukup halus selain mampu memukau sesiapa saja yang melihatnya.

Semua karya berkenaan boleh dihayati dalam Pameran ‘From The Cave To The World’ di Hotel Premiera Kuala Lumpur yang berlangsung dari 1 November sehingga 31 Disember ini.

Pemilihan tajuk pameran itu dikatakan mempunyai kaitan dengan sejarah awal lukisan yang dipercayai bermula dari dalam gua apabila lukisan pada asalnya dilukis di dinding gua menggunakan kapur dan arang.

Pameran terbabit sebagai platform dan persediaan kepada penuntut terbabit untuk mempamerkan karya mereka kepada umum pada masa akan datang.

Bagi penuntut, Khairul Basyar Abd Aziz, 22, memilih judul lukisan ‘To The Next Level’ yang berkisarkan perjalanan kehidupannya sebelum melanjutkan pengajian di ASWARA.

“Selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya merantau selama tiga tahun di Sabah, Pahang dan Kuala Lumpur untuk bekerja serta mencari pengalaman.

“Pelbagai kerja yang saya lakukan seperi menjadi pembuat kopi di sebuah restoran, jurujual dan pada masa melukis secara sambilan,”katanya.

Katanya, tetapi dia seakan-akan tidak mendapat kepuasan kerana minatnya terhadap seni visual begitu mendalam lalu mengambil keputusan meneruskan pengajian dalam bidang seni halus di ASWARA.

Seorang lagi penuntut, Mohamad Farid Sarudin, 21, pula menjadikan lukisan sebagai tempat untuk mengekspresikan revolusi kehidupan dirinya.

“Saya memilih tajuk Tidak Ada Dulu, Tidak Ada Sekarang kerana karya ini menonjolkan lakaran imej terompah kayu, selipar Jepun dan kasut tumit tinggi yang dipakai seorang wanita.

“Pemilihan tiga kasut ini menggambarkan langkah perjalanan kehidupan seseorang yang lazimnya bermula pada tahap biasa (terompah kayu) dan kemudian meningkat secara berperingkat (kasut tumit tinggi),”katanya.

Begitu juga dengan dirinya yang mendapat sokongan padu ibu bapanya untuk melanjutkan pengajian di ASWARA bagi mencapai cita-cita menjadi pelukis terkenal.-Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Disiarkan pada: December 12, 2018 @ 11:48am
d