nuansa

Muzium tertua negara

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Jika menyebut mengenai muzium pastinya ada yang menzahirkan pendapat ia tempat membosankan kerana menyimpan pelbagai koleksi barangan lama yang usianya mencecah ratusan tahun.

Hakikatnya entiti berkenaan mempunyai peranan yang besar kepada negara dan bangsa biarpun ramai yang seakan-akan sengaja ‘melupakan’ kewujudannya.

Ia bersesuaian dengan definisi muzium sebagai gedung pengetahuan yang mentafsirkan warisan bangsa yang kaya dari segi ilmu dan artifaknya.

Malahan, ia juga dianggap sebagai pemegang amanah pelbagai persoalan sejarah dan tamadun yang tidak ternilai serta tak dapat ditukar ganti.

Di samping berperanan sebagai institusi pendidikan, muzium juga bertanggungjawab untuk menyemarakkan rasa cinta negara dan pembentukan jati diri bangsa menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

Sungguhpun begitu, masih ramai yang tidak mengetahui kewujudan muzium pertama di negara ini bahkan juga dikatakan antara yang terawal di rantau Asia Tenggara.

Ia adalah Muzium Perak yang terletak di antara persimpangan Jalan Taming Sari dan Jalan Muzium Ulu di Taiping, kira-kira 85 kilometer dari Ipoh.

Kini, muzium berkenaan sudah berusia 135 tahun dan sambutan ulang tahunnya pada tahun ini dirasmikan Pemangku Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, baru-baru ini.

Dianggarkan 1,257 koleksi dipamerkan Muzium Perak dengan di Galeri A (khas) 266 koleksi, Galeri B (alam semula jadi) 297 koleksi, Galeri C (kebudayaan) 313 koleksi dan Galeri D (Orang Asli dan koleksi tembikar) dengan masing-masing 165 serta 175 koleksi manakala Pameran Luar pula mempunyai 41 koleksi.

Pengarah Muzium Perak Nor Hanisah Ahmad berkata, muzium berkenaan dibina secara rasminya pada 1 Januari 1883 dan idea penubuhannya dicetuskan oleh Residen British ketiga di Perak iaitu Sir Hugh Low.

“Beliau melantik seorang penguasa Taman Maxwell Hill (kini dikenali sebagai Bukit Larut) di Taiping, Leonard Wray sebagai kurator pertama Muzium Perak untuk mengumpul spesimen alam semula jadi dan etnologi tempatan sebagai koleksi awal muzium itu.

“Selepas Perjanjian Pangkor 1874, Taiping menjadi pusat pentadbiran British dan dijadikan sebagai ibu negeri Perak.

“Pihak pentadbiran British berasakan perlunya menubuhkan sebuah muzium sebagai pusat penyelidikan dan pengumpulan bahan sejarah, adat resam, budaya serta alam semula jadi tempatan,” katanya.

Beliau berkata, ini antara usaha pihak British untuk lebih memahami cara hidup dan budaya masyarakat setempat bagi memudahkan mereka dalam mentadbir negara ini.

Menurutnya, atas faktor itulah Muzium Perak dibina sezaman dengan pusat pentadbiran penting yang lain seperti balai polis, penjara, pejabat daerah, pejabat pos, telegraf dan stesen kereta api.

“Taiping pada waktu itu adalah bandar tersusun terawal di Semenanjung Tanah Melayu yang menempatkan pusat pentadbiran British, pusat perniagaan maju, mempunyai kepadatan penduduk daripada pelbagai kaum dan mengalami pembangunan ekonomi pesat.

“Jadi tidak hairanlah mengapa terdapat banyak perkara pertama di negara ini berlaku di Taiping.

“Penggunaan nama Muzium Perak juga disebabkan statusnya ketika itu sebagai muzium utama bagi Perak dan Tanah Melayu,” katanya.

Katanya, pembinaan bangunan Muzium Perak menggunakan khidmat arkitek berbangsa Inggeris dari England. Beliau menerapkan gaya dan ciri-ciri bangunan masyarakat Moor di India dengan gabungan seni bina Neo-Klasik dan zaman Victoria dalam seni bina pembinaan muzium terbabit.

Jelasnya, bangunan muzium terbabit mempunyai empat menara yang menyerupai istana di Eropah pada era Neo-Klasik.

“Muzium Perak melalui beberapa fasa perubahan yang tersendiri. Bermula dengan sejarah awal penubuhan (1883 hingga 1940) seterusnya melalui era Perang Dunia (1941 hingga 1957), zaman selepas kemerdekaan (1957 hingga 1963) dan era selepas penubuhan Malaysia (1963 hingga 2007).

“Oleh kerana usianya sudah melebihi 100 tahun, bangunan Muzium Perak mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Daftar Warisan Kebangsaan dalam kategori bangunan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005,” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2018 @ 11:51am
d