nuansa

Paparan 'ombak' kehidupan

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

MELIHAT tiga karya wanita ini pastinya menimbulkan persoalan mengapa ombak menjadi pilihan sebagai objek utama dalam lakaran kerja seninya.

Memilih judul 'awakening', 'never stop moving' dan 'reflection' pada lukisan terbabit, ia sebenarnya menggambarkan luahan hati pelukis itu berkenaan perjalanan kehidupannya yang penuh warna-warni.

Lukisan berkenaan boleh dihayati dalam Pameran Tiga Siri yang dianjurkan Art Market Malaysia di Da Men Mall, Subang Jaya hingga 31 Mei ini.

Danielle Joedingo berkata, setiap orang pastinya mempunyai kisah kehidupan sendiri dan tidak terlepas daripada diuji dengan pelbagai cabaran yang kadangkala membuatkan seseorang itu berasa lelah.

“Ada masanya kita menjalani kehidupan dalam suasana yang tenang dan ada kala ujian dan pancaroba datang tanpa diundang. Ini adalah asam garam dalam kehidupan yang membuatkan kita lebih kuat.

“Ombak ini juga menggambarkan luahan kemarahan seseorang yang sekiranya sedang marah, gelombang ombak akan naik tinggi dan mengganas.

“Bagaimanapun, ombak kelihatan cantik jika ia kecil tetapi mampu membinasakan manusia sekiranya ia bertukar menjadi gelombang ganas,” katanya.

Lukisan genre semi abstrak itu dihasilkan menggunakan medium cat akrilik di atas kanvas kelihatan begitu menarik yang jelas menunjukkan kreativiti Danielle dalam menonjolkan bakatnya.

Seorang lagi pelukis, Shahroom Ahmed mengetengahkan teknik baru menggunakan dakwat Cina dan konsep ‘cuci’ pada lukisannya.

Katanya, ia diaplikasikan dalam penghasilan karya terbarunya bertajuk ‘One Rhythm and One Nation’ dan ‘Private Corner’.

“Mula-mula saya melukis imej menggunakan dakwat Cina dan kemudian ‘mencuci’ lukisan terbabit menggunakan cat akrilik bersama berus.

“Idea ini tercetus selepas melihat pelukis dari China menggunakan teknik ini tetapi mereka lebih cenderung menggunakan cat air,” katanya.

Menurutnya, dia juga gemar memasukkan imej haiwan seperti burung dan rama-rama dalam kerja seninya. Sekali gus sebagai ‘hiasan’ yang dalam menonjolkan identitinya.

Shahroom berkata, dia mempelajari sendiri teknik itu dan tahun ini mahu memberi fokus kepada penghasilan karya yang menggunakan kaedah berkenaan bagi memberi dimensi baharu terhadap bidang seni visual.

PAMERAN TIGA SIRI

• ARTIS: 10

• KARYA: 200

• TARIKH: 1 Disember 2018 hingga 31 Mei 2019

• MASA: 10 pagi hingga 10 malam (setiap hari)

• TEMPAT: Art Market Malaysia, Lower Ground, Da Men Mall, Subang Jaya

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 1:17pm
d