nuansa

Insaflah demi kesihatan!

Oleh Zaitie Satibi

MASALAH berkaitan penyalahgunaan dadah, merokok yang menjadi punca pelbagai penyakit kronik dan penghidap diabetes yang semakin meningkat di negara ini antara mesej cuba disampaikan pelukis sepenuh masa, Fawwaz Sukri, dalam karya terbarunya bertemakan watak animasi kegemaran ramai.

Misalnya, Elmo karakter boneka raksasa berwarna merah, hidung kuning dan mata terbeliak daripada siri televisyen kanak-kanak, Sesame Street, digambarkan sebagai perokok tegar penghidap kanser paru-paru.

Bagaimanapun, karakter ini digambarkan masih boleh bergembira sambil merokok seolah-olah penyakit terbabit tidak mendatangkan keinsafan.

Begitu juga karakter raksasa biskut berwarna biru daripada siri sama apabila digambarkan sebagai pesakit diabetes yang sudah melarat, tetapi masih menggemari makanan manis.

Bagi pesalah dadah pula, pelukis mengambil karakter lembu bernama Goofy daripada siri kartun Walt Disney yang berubah daripada watak kelakar menjadi ganas akibat mengambil bahan berbahaya.

Menurut Fawwaz atau nama sebenarnya Nik Fawwaz Elhamie Mohamad Sukri, 31, beliau terpanggil menggunakan tiga masalah utama yang menjadi virus di negara ini berikutan masyarakat masih tidak berusaha atau mengambil sebarang tindakan, biarpun sebenarnya sudah maklum kesan buruknya.

“Rakyat Malaysia perlu diberi kesedaran berkenaan bahaya masalah terbabit bagi mengurangkan jumlah penghidapnya. Contohnya, pesakit diabetes yang dikatakan golongan yang paling tidak mengendahkan penjagaan kesihatan.

“Mereka makan ikut suka dan selera seolah-olah bukan penghidap penyakit terbabit, malah tidak peka berkenaan kesihatan sendiri. Ini yang saya cuba sampaikan dalam watak raksasa pemakan biskut atau Cookie Monster,” katanya.

Uniknya, karya beliau yang dihasilkan menggunakan akrilik dicorakkan di atas kotak karton terpakai berbanding kanvas yang lazim bagi menyuntik elemen artistik yang tersendiri. Selain tiga lukisan berkenaan, Fawwaz turut menghasilkan satu watak kartun yang lahir daripada imaginasinya.

Lukisan beliau boleh disaksikan dalam Pameran XIX:Nineteen anjuran UiTM Art & Design Sdn Bhd di Segaris Art Center, pusat beli-belah Publika Solaris Dutamas di ibu negara mulai 15 Januari hingga 3 Februari ini.

Sebanyak 42 lukisan dan satu arca hasil 19 pelukis berusia awal 30-an dengan karier sedang meningkat naik dipamerkan kepada umum dalam pameran berkenaan.

Bagi pelukis berusia 30 tahun, Syed Mohd Fakaruddin Sayed Jaafar, beliau menghasilkan tiga lukisan bertemakan landskap hutan imaginasi diberi nama Selamat Datang Kelembahan, Merupa #1 dan Merupa #2 yang lahir daripada ekspresi spontan.

“Saya gambarkan hutan ini sebagai pohon kayu, tetapi dilihat dalam pandangan yang kabur seolah-olah dari mata si rabun.

“Ini kerana saya mahu menghargai warna dan bentuk yang dilihat dalam posisi tidak jelas. Dalam keadaan pandangan sebegini, pelbagai bentuk boleh dilihat merujuk kepada persepsi masing-masing,” katanya.

Lukisan landskap yang menggunakan medium utama cat minyak di atas kanvas itu sememangnya identiti kepada Syed Fakaruddin, namun kali ini beliau meletakkan sapuan nipis dan halus berbanding karya sebelum ini bertekstur tebal dan menggerutu.

Sementara itu, kurator Segaris Art Center, Anwar Azhari berkata, pameran berkenaan membuka langkah tahun keenam penubuhan pusat seni itu yang disertai 19 artis sebagai pemula acara tahun ini.

“Sembilan belas artis adalah simbolik kepada 2019 dan pameran kali ini menghimpunkan artis yang aktif berkarya dalam menaikkan kerjaya mereka di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Semua karya juga adalah nukilan terbaru artis berkenaan. Bukan sekadar lukisan, malah mereka turut menyelitkan pengajaran berkaitan isu semasa untuk difikirkan bersama.

“Usaha mereka wajar dipuji kerana penghasilan dan kematangan dalam melontarkan ilham serta pengisian karya menampakkan peningkatan berdasarkan cara penyampaian dan persembahan,” katanya.

Katanya, lakaran ilustrasi karikatur hasil pelukis berbakat besar, Kide Baharudin, memaparkan karya yang menampilkan suasana semangat gotong-royong dan sepakat dalam masyarakat kampung. Karya berjudul Kampung 1948, Berkampong dan Kenangan Ke Pekan menyaksikan kostum dan suasana setempat.

“Kesibukan penduduk kampung berkunjung ke pekan untuk membeli keperluan harian, keriuhan mereka dalam sambutan majlis perkahwinan dan menyediakan jamuan secara bergotong-royong sudah jarang kelihatan terutama di kawasan bandar.

“Kenangan sebegini yang artisnya ingin terus semaikan kepada audien supaya ia boleh diterap dan diamalkan kembali bagi menjalin semangat kerjasama serta harmoni dalam kehidupan sekarang,” katanya.

Anwar berkata, secara keseluruhannya pengalaman, pengamatan dan perkongsian artis

dalam pameran berkenaan yang dihasilkan menerusi karya sarat dengan

mesej kemasyarakatn menguatkan lagi peranan mereka dalam komuniti setempat, malah ke peringkat nasional supaya tiada tembok yang membatasi dunia kreatif mereka.

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 12:36pm
d