nuansa

Kembara hargai khazanah warisan

Oleh Mohd Aswadi Muhamad

BERTEPATAN tema Menghayati dan Menghargai Khazanah Warisan, seramai 40 peserta Eksplorasi Kembara 2019 menjalani pelbagai aktiviti untuk mempertingkat kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

Eksplorasi sehari anjuran Kelab Kembara, Politeknik Ungku Omar (PUO) dengan kerjasama Persatuan Mata Hati Malaysia (MHM) itu diadakan di Bukit Kledang, Ipoh, Perak

Setiausaha Persatuan MHM, Dr Razul Ikmal Ramli berkata, program itu bertujuan mengajak masyarakat menyelami isu alam sekitar dan kebersihan dari mata hati demi menjamin kesejahteraan serta kelangsungan hidup manusia sejagat.

“Program ini diharap dapat membudayakan semangat setia kawan, jati diri dan komitmen yang tinggi dalam kalangan peserta.

“Lebih penting ia juga mendidik mereka untuk menjadi warga negara yang peka, mampu melihat melalui mata hati dan bertindak secara matang dalam menangani isu kelestarian khususnya konservasi alam sekitar secara lestari,” katanya.

Tambah Pensyarah Kokurikulum Kelab Kembara PUO, Khairol Hisam Hamran, eksplorasi itu turut menyemai sikap, etika, semangat profesionalisme dan kemahiran kepemimpinan dalam kalangan peserta meliputi 40 ahli kelab terbabit serta lima wakil Persatuan MHM.

“Program ini adalah satu bentuk tanggungjawab sosial bertujuan menambah kesedaran berkenaan aktiviti fizikal dan mental, selain membuka peluang untuk pelajar meningkatkan kemahiran insaniah serta kebolehpasaran mereka.

“Kemahiran insaniah seharusnya disemai dalam diri pelajar sejak berada di pusat pengajian tinggi untuk menjamin perkembangan diri pada masa akan datang. Kokurikulum menggalas peranan yang penting dalam hampir semua proses pendidikan.

“Malah, kokurikulum dan kurikulum adalah dua elemen bagi menjana individu yang seimbang dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelektual,” katanya.

Katanya, kokurikulum memainkan peranan penting sama ada secara langsung atau tidak dalam proses pembangunan diri seseorang individu. Melalui peranan kurikulum

semata-mata sangat sukar untuk melahirkan insan yang mempunyai keseimbangan yang sempurna, memimpin, berketerampilan dan berdaya saing.

“Menerusi program atau kursus kokurikulum, pelajar dapat meningkatkan kemahiran mereka seperti komunikasi, kepimpinan, keusahawanan dan seterusnya memiliki kriteria yang diperlukan majikan.

“Justeru itu, hasil daripada kupasan kajian menunjukkan kemahiran insaniah menjadi keperluan graduan dan kokurikulum adalah satu platform serta mempunyai pertalian yang rapat dalam pembentukan kemahiran ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kelab Kembara PUO, Nur Izati Mohd Ibrahim mengakui aktiviti dijalankan itu mampu menyuntik banyak manfaat dari segi kesihatan fizikal dan mental.

“Di samping dapat mendekatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan, ia juga membantu mengeratkan silaturahim dan memberi banyak ilmu pengetahuan seperti kaedah yang betul mendaki bukit.

“Menerusi program ini kami berkesempatan membersihkan laluan dengan memungut sampah yang tidak terurai. Saya berharap program sebegini diteruskan pada masa depan,” katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 11:47am
d